Adun Pengkalan Baru dilantik sebagai Penasihat Khas kepada MB Perak bertaraf Exco

Adun Pengkalan Baru dilantik sebagai Penasihat Khas kepada MB Perak bertaraf Exco

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Datuk Abd. Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar bertaraf Exco bukan imbuhan setelah wakil rakyat UMNO itu membawa usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelantikan Abd. Manaf adalah bagi mengisi kekosongan jawatan sama setelah Penasihat Khas kepada Menteri Besar sebelum ini, ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kini dilantik sebagai Exco.

Katanya, Abd. Manaf dilantik kerana memenuhi kriteria ditetapkan iaitu seorang wakil rakyat yang senior dan berpengalaman dalam bidang korporat.

“(Pelantikan) ini bukan imbuhan, kita tidak menjanjikan apa-apa. Tidak terlintas sama sekali bab itu.

“Kita memilih beliau sebagai antara ADUN yang senior, kita yakin pada kebolehan beliau maka beliau ambil tempat itu. Tak ada imbuhan, bukan berjanji apa-apa, tak ada,

“Tempat itu dikosongkan oleh Datuk Zainol, jadi saya perlu isi. Bila nak isi mestilah orang yang pada pendapat kita layak dan antara kriterianya. Pertama senior dan berpengalaman dalam bidang korporat kerana beliau dahulunya adalah ahli lembaga pengarah TNB, jadi berdasarkan pengalaman itu kita lantik beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat negeri di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini hari ini.

Pada 23 Disember lalu, Saarani mengumumkan pelantikan Abd. Manaf sebagai penasihat khas beliau bertaraf exco.

Abd. Manaf adalah ADUN yang mengemukakan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kemudian menyaksikan ADUN Chenderiang itu hilang majoriti sokongan daripada ahli Dewan.

Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak sebelum ini,  Zainol Fadzi dilantik  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/pelantikan-abd-manaf-bukan-imbuhan/