Adun Bersatu, Pas sumbang separuh gaji isi Tabung Bencana Covid-19

Adun Bersatu, Pas sumbang separuh gaji isi Tabung Bencana Covid-19

Seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk memotong separuh gaji mereka selama tiga bulan bermula Jun ini bagi disumbangkan pada Tabung Bencana Covid 19.

Mereka adalah enam daripada Bersatu dan tiga ADUN Pas.

Pengerusi PN negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut diputuskan sebagai rasa prihatin terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini serta merasai kesusahan rakyat.

Menurut beliau yang juga ADUN Chenderiang, usaha ini sebagai manifestasi serta menyambut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Langkah ini membuktikan keperihatinan ADUN dalam kalangan pemimpin PN negeri Perak atas permasalahan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid 19 ini,” ujar Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bersama 10 lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemotongan gaji penuh selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19.

Sumber: Kosmo