“Sekarang dah berlari di taman syurga” – Bekas pesakit kanser mata, adik Alisa Umairah meninggal dunia
“Sekarang dah berlari di taman syurga” – Bekas pesakit kanser mata, adik Alisa Umairah meninggal dunia.
Adik Alisa Umairah yang dilaporkan berada dalam kritikal dan dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi di salah sebuah hospital sebelum ini telah menghembuskan nafas terakhir.
Perkara itu dimaklumkan stesen radio Malaysia, ERA Malaysia menerusi satu muat naik di Facebook.
Sebelum ini, menerusi beberapa hantaran di laman Instagram @era.je, adik Alisa dilaporkan berada dalam kritikal dan dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi di salah sebuah hospital.
Video turut memaparkan Elly Mazlein sudah berada di hospital dan berjumpa dengan keluarga adik Alisa untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai kesihatan kanak-kanak tersebut.
Menurut hantaran lagi, artis wanita itu turut memohon agar rakyat Malaysia mendoakan adik Alisa diberikan kesembuhan.
Terdahulu, media melaporkan Elly Mazlein telah mengunjungi adik Alisa di kediamannya yang terletak di Labis, Johor.
Untuk makluman, adik Alisa baru sahaja selesai menjalani sebuah pembedahan terakhir pada bulan lalu.
Menerusi video yang dikongsikan, artis wanita itu turut membawa beberapa buah tangan termasuklah gula-gula kegemaran adik Alisa.
Pada awalnya, adik Alisa berasa malu dengan kehadiran Elly Mazlein, namun lama-kelamaan dia menunjukkan rasa selesa.
Difahamkan, kisah kanak-kanak perempuan ini mendapat perhatian ramai selepas bapanya, Nur Hisham Abd Hamid berkongsi anaknya yang gemar duduk di peti ais bagi mengurangkan kepanasan akibat kesan kimoterapi.
“Sebenarnya saya buat live sementara tunggu Alisa tidur. Sejak menjalani kimoterapi, Alisa sukar tidur dan hanya tertidur sekitar jam 2 atau 3 pagi.
“Tiba-tiba AcapS (pempengaruh TikTok) ajak bersiaran langsung bersama. Saya sembang, bercerita mengenai Alisa.
“Namun selepas siaran tamat, ramai yang DM (mesej di aplikasi) dan komen. Mereka mahu hulurkan bantuan, berdoa untuk Alisa. Saya anggap itu rezeki anak,” katanya.
Menerusi siaran langsung berkenaan, lelaki dari Johor itu berkongsi kisah anaknya yang gemar duduk dalam peti ais bagi mengurangkan rasa panas akibat kesan kimoterapi mengundang sebak pempengaruh itu serta penonton lain.
Nur Hisham berkata, Alisa Umairah didiagnos menghidap kanser ketika usia setahun dan telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua matanya pada Mei dan Julai lalu.