Adakah Menteri Kewangan anggap tekanan ekonomi yang dialami sebahagian besar rakyat ‘macam kacang’? – Puad

Adakah Menteri Kewangan anggap tekanan ekonomi yang dialami sebahagian besar rakyat ‘macam kacang’? – Puad

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat seolah-olah menganggap tekanan ekonomi yang dialami sebahagian besar rakyat ‘macam kacang’.

Perumpamaan yang digunakannya, “pakai tukul untuk pecah kacang” dalam menolak cadangan moratorium pukal yang baginya seperti terlebih beri bantuan mengundang kritikan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat apa salahnya guna tukul sekalipun jika itu lebih berkesan dan cepat dalam membantu rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19.

“Apakah hilang kerja, muflis, tutup bisnes, potong gaji dan pendapatan harian merosot adalah masalah kecil macam kacang?

“Sudah setahun Tengku Zafrul jadi Menteri (Kewangan). Apakah masalah macam kacang ini selesai atau tambah teruk?” bidasnya dalam kenyataan di Facebook.

Tengku Zafrul dalam artikel panjang di dalam The Star, 5 Jun lalu menulis sebab-sebab mengapa dia tidak mahu memenuhi tuntutan rakyat berkenaan moratorium pinjaman pukal.

Antara lainnya, bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) itu berkata, kerajaan telah memberi pelbagai bantuan kepada rakyat.

Oleh itu, Senator berkenaan menganggap pemberian moratorium pukal seperti terlebih beri bantuan kononnya seperti “pakai tukul untuk pecah kacang”.

Jelasnya, hanya kerana kerajaan boleh bantu, tidak bermakna kerajaan perlu bantu serta menegaskan Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa mengarahkan bank-bank untuk memberi moratorium kepada rakyat.

Namun, pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, pemegang-pemegang saham terbesar bank-bank itu adalah institusi-institusi kerajaan seperti KWSP, PNB, Lembaga Tabung Haji, Socso, dan KWAP sekali gus dilihat bercanggah dengan hujahnya sendiri.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu menegaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat perlu disegerakan.

“Kalau kacang, kenapa imbuhan tiga bulan ITK dan ITKA 800,000 penjawat awam disumbang ke akaun Amanah Bencana?

“Menyelesaikan masalah rakyat kerana pandemik tidak boleh tangguh tangguh. Pakai tukul, tukullah,” ujarnya lagi.

Sumber: Malaysiadateline