“Ada yang nak pukul, hantar santau..” – Gara-gara watak Dr Omar, Zahiril Adzim dedah terima banyak ugutan
Penangan watak dibawa dalam drama Aku Bukan Ustazah, Zahiril Adzim, 40, mengaku menerima banyak kecaman netizen malah mendakwa ada individu mengugut mahu memukulnya.
Bagaimanapun, Zahiril yang membawa watak Dr Omar dalam drama rantaian itu menerima semua maklum balas dengan positif, selagi kecaman dan ugutan tidak membabitkan keluarganya.
“Teruk saya dikecam hingga ada yang hendak jumpa dan pukul saya. Setiap hari, ada orang hantar mesej langsung (DM) maki saya. Setiap hari, penuh ‘in box’ sampai tak larat hendak baca.
“Saya okay, tiada masalah dengan kecaman sebab kita tahu ada ‘engagement’ (capaian dengan khalayak). Tetapi, apabila sampai maki-maki, saya fikir tidak perlu. Bagi saya, drama Aku Bukan Ustazah beri pengajaran.
“Setakat ini, tiada komen yang melampau. Saya okay selagi tidak kacau keluarga. Alhamdulillah, tiada yang maki keluarga. Apa yang ada, komen dekat gambar isteri sahaja,” katanya ditemui pada sesi ramah mesra pelakon drama Aku Bukan Ustazah melalui segmen Immersio : Inspirasi Generasi By TV3 di Muzium Telekom.
Zahiril memilih untuk tidak membalas setiap komen atau maklum balas yang mengutuk lakonannya dalam drama Aku Bukan Ustazah yang disiarkan slot Akasia TV3 sejak 3 Mei lalu.
“Saya tidak balas… Tetapi saya mengaku ada yang komen konon hendak hantar santau. Tetapi, tiadalah yang buat demikian,” katanya.
Zahiril bersyukur drama Aku Bukan Ustazah mendapat maklum balas baik penonton dari negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.
“Bagi saya, seperkara yang menarik, drama ini mengangkat isu keganasan rumah tangga. Jika ada sesiapa yang alami masalah ini, usah teragak-agak untuk buat laporan… Carilah bantuan.
“Budaya kita ini macam malu hendak minta tolong. Kita kena buang sikap itu,” katanya.
Dalam drama Aku Bukan Ustazah, Omar dipaparkan sebagai doktor perubatan lulusan Mesir dan sangat menjaga amalan agama. Bagaimanapun, Omar panas baran sehingga sanggup melakukan keganasan terhadap isteri, Aminah lakonan Erysha Emyra.
Drama Aku Bukan Ustazah berunsur kekeluargaan, namun, menyelitkan konsep Islamik yang banyak memberi pengajaran dan teladan kepada penonton. Drama bersiri 28 episod terbitan Global Station Sdn Bhd itu diarah Idora Abdul Rahman.
Selain Zahiril dan Erysha, drama ini dibintangi MK K-Clique, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled, Fikhree Bakar dan Ahmad Syafiq.