Ada individu kurang senang dengan usaha ajak solat Subuh macam Jumaat, ini respon Alif Satar

Ada individu kurang senang dengan usaha ajak solat Subuh macam Jumaat, ini respon Alif Satar

Pasti ramai yang sedia maklum mengenai kempen yang dilancarkan oleh selebriti serba boleh, Alif Satar iaitu kempen #GengSubuhMacamJumaat sejak November tahun lalu.

Kempen ini merupakan salah satu usaha Alif untuk mengajak orang ramai mengimarahkan masjid pada waktu solat Subuh.

Ternyata, kempen ini mendapat sambutan hangat dari pelbagai pihak di mana lebih 3,000 orang yang hadir Subuh berjemaah di masjid pada 1 Januari lalu.

Dalam pada ramai yang memuji usaha murni penyanyi itu, ada juga pihak yang kurang senang dengan mengatakan inisiatif itu mendapat sambutan hanya disebabkan dirinya berstatus selebriti.

Namun, pendapat individu itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dengan rata-ratanya mengecam kenyataannya.

Bagi Alif yang juga seorang pelakon, dia tidak mahu memikirkan soal pandangan negatif mengenai kempen tersebut.

“Saya tidak peduli langsung sebab tahu apa yang dibuat ini, iaitu ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid)… Dua tiga orang ini saya tak kisah.

“Saya fikir apabila buat gerakan sebegitu, ramai yang ikut. Tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri. Apa yang saya buat memang kerana Allah SWT,” katanya.

Pada masa yang sama, Alif turut menyeru orang ramai untuk mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.

“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.

“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” katanya.