Abang Ustaz Kazim Elias kemalangan

Abang Ustaz Kazim Elias kemalangan

Abang kepada penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias terbabit dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan ketika menaiki bukit di Kampung Anak Kurau, Batu Kurau pada Sabtu.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu berlaku, ketika Datuk Mohd Najmuddin Elias dalam perjalanan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang mengadakan gotong-royong membina jalan simen.

Dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan, Mohd Najmuddin yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau itu mengalami luka di bahagian kaki dan dada apabila terhempap batu ketika tergelincir.

“Keadaan jalan ketika itu agak licin menyebabkan motosikal ditungganginya gagal menaiki bukit yang agak curam.

“Beliau bernasib baik kerana sempat mengelak dari terjatuh gaung, tetapi terpelanting ke kiri jalan menyebabkan bahagian dadanya terkena batu manakala kaki terkena ekzos,” katanya.

Keadaan itu mengakibatkan Mohd Najmuddin terpaksa dibawa turun dengan menaiki pacuan empat roda dan dihantar ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan.

“Setakat malam tadi (Ahad), beliau mengadu masih sakit di bahagian dada, namun keadaannya stabil,” katanya.

Akibat kemalangan itu, beberapa program yang dirancang awal antaranya ceramah perdana di Taman Kota Wira dan ziarah kasih di Kampung Sempeneh terpaksa dibatalkan.

“Beliau berharap masyarakat di luar sana dapat mendoakan beliau yang kini masih dalam rawatan.

“Kemalangan itu disifatkan sebagai suatu pengajaran supaya lebih berhati-hati di masa akan datang,” katanya. – SH