“Abah minta maaf” – Nukilan terakhir seorang ayah
“Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf” – itu antara nukilan terakhir seorang ayah yang dijangkiti Covid-19 sebelum dia menghembus nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak pada Rabu lalu.
Nota terakhir Ahmad Ahmad Taib, 58, itu dikongsikan anaknya Syafiqa Humairak, 32, di akaun Facebook dan tular selepas itu.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah, alhamdulillah. Selesai sudah semua urusan pengebumian abah pagi tadi.
“Alhamdulillah sempat sampai dan jadi wakil keluarga tengok abah disimpan (dikebumikan) walaupun dari jauh,” katanya.
Syafiqa turut mengepilkan gambar urusan pengebumian ayahnya yang disempurnakan di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara di Ipoh.
Dipetik New Straits Times, Syafiqa dilaporkan berkata, pegawai kesihatan tidak membenarkan ahli keluarganya untuk membawa pulang nota berkenaan kerana dibimbangi helaian berkenaan sudah tercemar dengan virus Covid-19.
Ahmad mempunyai latar belakang masalah buah pinggang dan disahkan positif Covid-19 pada 12 Nov sebelum dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, Syafiqa berkata kesihatan ayahnya mula merosot dan doktor membuat keputusan untuk memberikan sedatif pada hari 16 Nov.
“Dia menulis nota ketika diberi sedatif. Dia tidak dapat berjalan. Kami juga sempat membuat panggilan video sebelum abah diletakkan dalam keadaan koma,” katanya.
Jelas Syafiqa, kebanyakan ahli keluarga juga tidak dapat hadir untuk pengebumian ayahnya kerana ramai daripada mereka turut dijangkiti wabak tersebut.
Seorang daripada mereka, katanya, ialah anak saudaranya yang baru berumur setahun.
Namun Syafiqa menjelaskan, dia dan suaminya serta seorang saudara lagi tidak dijangkiti wabak tersebut.
“Hanya saya yang dapat hadir pengebumian ayah. Sedih kerana tidak dapat cium untuk terakhir kali. Saya hanya dapat tengok dari jauh. Covid-19 bukan benda main-main dan tiada yang kebal.
“Hanya seminggu untuk wabak itu bunuh ayah saya. Saya harap orang ramai ambil serius Covid-19 dan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya lagi.
Sumber: Malaysiakini