9 sebab kegagalan PH dalam PRN Melaka

9 sebab kegagalan PH dalam PRN Melaka

 

Pilihan raya negeri Melaka ke-15 sudah selesai dan muktamad. BN menang besar mendapat 21 kerusi, manakala PH hanya menang lima (5) kerusi dan PN dua (2) kerusi. Umno yang menulangi BN menjadi parti mendapat kerusi terbanyak apabila menang 18 kerusi, manakala McA dua (2) dan MiC satu (1).

Dap pula dikira menyelamatkan maruah PH apabila menang empat (4) kerusi dan Amanah satu (1). PKR yang bertanding di 11 kerusi tidak memenangi satu kerusi pun, nasibnya sama dengan Pas yang bertanding di tujuh (7) semua tewas. Keadilan bolehlah jadi adik beradik tiri dengan Pas. Jika Pas kekal berkawan dengan BN mungkin parti itu sudah dapat menghantar wakil sulungnya ke Dun Melaka.

Sudah berduyung-duyung status yang memberi komen dan ulasan kepada pilihan raya berkenaan. Sebab musabab kenapa Umno menang besar dan Keadilan dan Pas tidak menang satu kerusi, dan mengapa Dap gagal mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya ke-14 lalu dibicarakan.

Saya berkesempatan pagi ini untuk memberi sedikit pandangan awal berhubung keputusan pilihan raya berkenaan. Apapun marilah kita ucap tahniah dan syabas dahulu kepada BN khasnya Umno yang berjaya merampas kembali kerajaan yang hilang selama 22 bulan sebelum ini apabila kalah dalam Piraum ke-14 dulu. Umno tentu berasakan maruah mereka terbela. Kemenangan itu akan dijadikan semangat untuk menubuhkan kerajaan Malaysia atas kekuatannya sendiri seperti sebelum ini.

Sulaiman Md Ali juga telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri awal pagi ini. Tahniah. Umno telah mengotakan janjinya untuk melantik Adun Lendu itu sebagai ketua menteri, bukannya Adun Tanjung Bidara, Abdul Rauf Yusoh. Kesegeraan majlis angkat sumpah Sulaiman itu menunjukkan Umno tidak dapat tidur sepanjang malam tadi kerana meraikan kemenangan mereka. Saya rasa Umno juga terkejut dengan kejayaan itu.

Dalam membuat ulasan berhubung keputusan pilihan raya itu ada berbagai-bagai pandangan dan sudut dinilai. Diricih dan dicincang. Masing-masing dengan pandangan tersendiri. Ada yang natural, ada yang bias, ada yang berada ditengah-tengah. Yang bias datangnya daripada mereka yang menjadi penyokong kepada parti tertentu. Soal apakah komentar itu professional atau tidak, itu soal lain. Dunia hari ini wacana kedai kopi pun sudah diiktiraf dalam internet. Kena faham dan maafkan.

Pengulas berpihak, meletakkan kesalahan kepada parti sendiri, atau parti yang disokong, tanpa melihat kepada kekuatan atau strategi mantap oleh pihak lawan. Yang banyak diperkatakan ialah bukan kemenangan BN, tetapi kekalahan di pihak PH. Dapat dibayangkan ahli dan penyokong PH cukup kecewa dan hiba dengan apa yang berlaku.

Kekalahan PH khasnya kegagalan Keadilan mempertahankan kerusinya yang diperoleh dahulu dan tanpa menang sekerat kerusi pun, banyak diperkatakan oleh pengulas amatur dan profesional. Kerana Keadilan dilihat tulang belakang kepada PH menyebabkan parti itu menjadi tumpuan. Apabila parti utama kalah, tentulah ia dipersoalkan. Yang menjadi sasaran dan perhatian ialah Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH dan presiden Keadilan. Wibawa dan popularitinya juga diperkatakan.

Di sini saya tidak mahu menumpukan kepada satu parti sahaja, tetapi mahu merangkul kesemua parti yang berada dalam PH. Saya juga tidak mahu menyinggung mana-mana peribadi tokoh atas nasib buruk PH itu. Saya akan berbicara dan melontarkan pendapat kerdil secara umum.

Saya turunkan beberapa sebab atau senario dari berbagai aspek kenapa PH kalah. Setengahnya saya sudah bayangkan atau perkatakan dalam status-status di dalam Facebook.

1. Keadaan pilihan raya itu diadakan ia telah meletakkan pembangkang (PH) dalam keadaan berat dan tertekan serta diperangkap. Pilihan raya itu tidak seperti biasa, tidak boleh berkempen dan penuh dengan tatasusila gila-gila. Sedangkan pihak BN yang merupakan kerajaan dapat melakukan dengan menggunakan segala macam jentera kerajaan. Ternyata aparat kerajaan seperti RTM dan lain-lain berpihak kepada BN walaupun PN juga sebahagian daripada kerajaan.

TYT yang dikenali sebagai orang Umno tidak akan sedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka kalau tidak ada keyakinan jika diadakan pilihan raya mereka akan menang. Ramalan dan analisa mereka tepat, apabila Umno menang besar. Pilihan raya dalam norma baru (Covid) telah mendatangkan hasil sementara PH pula dalam keadaan tangan separuh terikat.

2. BN mempunyai kekuatan secara spiritual apabila perdana menteri adalah Islam Sabri Yaakob yang merupakan naib presiden Umno. Kedudukan itu menjadikan rakyat Melaka lebih bersemangat untuk memangkah Umno berbanding parti lain. Jawatan perdana menteri memainkan peranan signifikan kepada pengundi. Walaupun PN menjual gambar Mahiaddin Yassin tetapi ia tidak membawa kesan kerana Mahiaddin adalah bekas perdana menteri.

3. Kelemahan dalam PH ternyata sejak awal-awal lagi apabila semasa mengumumkan calon, DAP tidak bersama. Walaupun akhirnya Dap seperti bersama, tetapi mesej awal yang Dap tunjuk tidak “bersama” itu sudah diterima umum dan ia dimainkan dijadikan isu. Orang mengambil faham Dap tidak serius untuk merampas Melaka. Apa sebab Dap menunjukkan sikap demikian itu soal lain, tetapi tindakan itu sebagai kurang cerdik. Membakar sampah tepi rumah, asapnya akan masuk ke dalam bilik sendiri. Kan kini semua kepedihan mata.

4. Peratus keluar mengundi menjadi faktor utama. Awal-awal saya sudah meramalkan sekiranya peratus keluar mengundi rendah, tidak sampai 80% ke atas ia membahayakan kedudukan PH, dan menguntungkan kepada UBN. Peratus keluar mengundi semalam hanya 65.85 peratus sahaja. Salah satu faktor kenapa pengundi malas mengundi ialah bosan dengan politik dan juga ancaman Covid. Tetapi peratus itu membawa tuah kepada parti yang telah mempunyai penyokong fundamental.

5. MoU di antara PH dengan kerajaan sedikit sebanyak memberi kesan, kerana MoU itu menyebabkan penyokong PH yang tidak suka PH bekerjasama dengan kerajaan dan mahu terus menghentam BN dan PN, tawar hati untuk bekerja keras atau turun mengundi PH. Penanda-tangani MoU itu seperti PH menarik hand break. Ia suatu tindakan yang tidak mengambil kira sentimen dan mood ahli dan penyokong bawahan.

6. Tanpa penglibatan Dr Mahathir Mohamad. Suka atau tidak, harus diterima bahawa pengaruh Dr Mahathir dalam pilihan raya lalu (Piraum ke-15) telah menarik sokongan veteran untuk menyokong PH. Apabila Dr Mahathir tidak menghiraukan pilihan raya itu, menyebabkan mereka dirasakan tidak terpanggil untuk berpartisipasi dengan pilihan raya. Buruk atau baik OT96 pengaruhnya di kalangan veteran Umno tetap ada.

7. PH tidak jadi sepadu (solid) seperti pilihan raya umum lalu apabila Bersatu sudah berasingan dan membuat perikatannya sendiri. Kehilangan Bersatu itu tidak dapat tokok (topup) oleh PH. Ini terbukti apabila ada kerusi-kerusi kalau dicampur undi Bersatu dengan PH, BN tidak akan menang.

8. Najib Razak masih berpengaruh dan ada di hati rakyat Melaka. Serangan secara bertubi-tubi terhadapnya dilakukan oleh pihak tertentu termasuk Dr Mahathir di parlimen, telah memberi simpati pengundi veteran kepada Najib.

Misalnya tindakan veteran Umno Zaharin Yassin setiap malam membelasah Najib Razak, jika diperhatikan ia semacam menguntungkan PH, tetapi sebaliknya cara Zaharin itu untuk membantu BN. Apabila dibelasah Najib melulu macam babi sodok batas ubi, simpati timbul kepada Najib oleh pengundi akhirnya pengundi akan membela Najib dengan mengundi BN. Cara reverse psychology  dilakukan Zaharin ini ramai yang tidak faham dan bertepuk tangan akhirnya gema kekalahan itu jauh ke dalam lubang telinga sendiri. Main politik harus bijak membaca dan menilai.

9. PH sendiri kekeringan isu dalam pilihan raya itu khasnya isu negeri atau setempat. Isu pasir yang ditimbulkan tidak terkesan kerana secara umumnya ia tidak membebankan rakyat. Isu pasir bukan isu masyarakat, tetapi isu para kontraktor dan politis. Isu kemiskinan misalnya tidak dibawa secara berkesan, atau mungkin masalah kemiskinan tidak wujud lagi di Melaka atau menjadi masalah terpencil. Manakala isu agama bukan menjadi makan minum rakyat Melaka.

Kesimpulannya pilihan raya Melaka itu memberi natijah dan menjadi indikator oleh semua pihak. Kepada BN ia menjadi semangat untuk parti itu mengembalikan semula kegemilangan yang hilang kini. Kepimpinan Umno yang ada kini boleh merasa sedikit tenang dan bersemangat kembali. Mana-mana pemimpin atau individu Umno yang sudah hilang kepercayaan kepada parti akan merapat langkah semula.

Bagi PH pula mereka perlu merangka naratif baru dalam pakatan berkenaan untuk memperlihatkan komitmen mereka untuk menerajui Malaysia lebih nyata dan jelas lagi bukan berpuas hati dengan cara dan usaha yang ada kini.

Kegagalan PH untuk memerintah Melaka itu bukan penutup segala jalan cerita atau pengakhiran mimpi. Sebaliknya ia boleh dijadikan azimat untuk menyuntikkan semangat bagi memperelokkan lagi Pakatan Harapan. Kejayaan BN di Melaka itu bukan penanda yang autentik untuk BN dapat menguasai Malaysia dalam Piraum ke-15 kelak. Kemenangan itu bersifat sementara dan lebih kepada bernasib baik.

MERAH TINTA

COMMENTS