80 rumah terjejas banjir di Sungai Siput
Lebih 80 buah rumah dinaiki air berikutan banjir kilat di pekan dan Kampung Lintang, Kampung Chior dan Kampung Tok Sirat di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, turut dinaiki air ialah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang dan Balai Polis Lintang.
Menurutnya, selain itu berlaku kerosakan komputer di pusat sumber SK Lintang yang dinaiki air lebih satu meter.
“Saya dimaklumkan oleh guru SK Lintang kemungkinan komputer di pusat sumber sekolah mereka rosak akibat terkena air banjir disebabkan paras air begitu tinggi.
“Lebih 80 buah rumah pula terjejas selain bangunan SK Lintang dan Balai Polis di pekan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di pekan Lintang hari ini.
Mohd. Zolkafly menyifatkan banjir kali ini lebih buruk berbanding banjir pada tahun 2014 kerana kali ini melibatkan banyak kawasan.
Menurutnya, banjir yang berlaku mulai pukul 1 pagi sehingga menyebabkan seramai 103 orang penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
“Ketika banjir pada tahun 2014, ia tidak melibatkan banyak kawasan seperti banjir kali ini apabila hampir keseluruhan kawasan dinaiki air malah ada yang sehingga paras 1.5 meter.
“Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar akan membuat penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa secara terperinci dan bantuan akan salurkan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zolkafly meminta penduduk di lokasi berisiko dinaiki air di negeri ini supaya sentiasa berwaspada berikutan hujan tidak menentu ketika ini.
“Penduduk perlu bersiap sedia kemungkinan banjir di kawasan masing-masing jika hujan lebat berterusan,” katanya.
Sumber: Utusan