8 lelaki, 5 perempuan cedera dalam kemalangan lima kenderaan

8 lelaki, 5 perempuan cedera dalam kemalangan lima kenderaan

 

Seramai 13 cedera dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 357 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.

Kemalangan membabitkan kereta Proton Perdana, Perodua Bezza, Proton Wira, Audi dan Honda HRV.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.53 malam tadi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke lokasi.

“Tiba di tempat kejadian mendapati lima kenderaan terbabit dalam kemalangan termasuk dua kenderaan terbalik.

“Seramai 13 mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan iaitu lapan lelaki dan lima perempuan, semua mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebahagian mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan selebihnya dengan bantuan orang awam.

“Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera melalui Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi.