75 petani terjejas, 125 hektar sawah padi banjir di Bagan Serai

75 petani terjejas, 125 hektar sawah padi banjir di Bagan Serai

Seluas 125 hektar sawah padi milik 75 petani di sini terjejas kerana tenggelam sehingga empat hari ekoran banjir yang berlaku.

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, antara kawasan yang terlibat ialah di Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 & 2 Padang Lalang Parit 3 & 4 Alor Setanggok dan Sungai Kepar.

Menurutnya, berdasarkan tinjauanya sejak beberapa hari lalu, umur padi yang terlibat antara 15 hingga 40 hari yang ditenggelami banjir.

 

“Punca banjir adalah disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak 15 November, pelepasan air lebihan kolam Bukit Merah dan paras air sungai yang tinggi menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Yunus berkata, Jabatan Pertanian sedang menjalankan bancian awal pada setiap lot yang terlibat bagi penyediaan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi.

Di samping itu, katanya, pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan pam-pam bergerak untuk mengurangkan kesan banjir

“Jabatan Pertanian serta agensi yang lain akan terus memantau keadaan semasa di kawasan penanaman padi kerana ramalan hujan dijangka akan berterusan pada minggu ini,” ujarnya.

 

Beliau meminta pesawah membuat laporan segera kepada Jabatan Pertanian serta agensi yang berkaitan sekiranya terdapat kawasan tanaman padi yang lain terjejas akibat banjir.

Jelasnya, bancian awalan serta terperinci telah dibuat dan sekiranya berlaku kemusnahan tanaman laporan dan permohonan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akan dibuat kepada pihak kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Sumber: Suara Perak