742 warga polis Perak positif Covid-19

742 warga polis Perak positif Covid-19

 

Seramai 742 warga polis Kontinjen Perak dan ahli keluarga mereka dikesan positif dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara, dua tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jangkitan tertinggi melibatkan ahli keluarga dengan 410 kes diikuti pegawai rendah (241), pegawai awam (58) dan pegawai kanan seramai 33  orang.

“Seramai 637 warga polis Perak dan ahli keluarga juga diarah kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 365 individu bawah pengawasan (PUS) membabitkan ahli keluarga diikuti pegawai rendah (194), pegawai awam (51) dan pegawai kanan (27),” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, data yang direkodkan sejak 18 Mac 2020 hingga kelmarin itu membabitkan jumlah keseluruhan 1,379 orang yang positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat dengan individu dijangkiti virus tersebut.

Menerusi laporan media November lalu,  Mior Faridalathrash berkata, hampir keseluruhan pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Malah katanya, sebahagian besar mereka juga telah menerima dos penggalak vaksin berkenaan.

“Di Perak boleh dikatakan 100 peratus dan ramai juga yang telah mengambil dos penggalak,” katanya.