7 Pusat Data Terbesar di Dunia

7 Pusat Data Terbesar di Dunia
Setiap hari, kita mencipta lebih daripada 2.5 juta terabait (terabyte) data. Dengan penggunaan internet dan pelbagai teknologi lain yang semakin meningkat, kadar penjanaan data juga akan bertambah.

Data yang sangat besar ini biasanya disimpan di kemudahan khusus yang dikenali sebagai pusat data. Walaupun pusat data terawal telah dibina sejak tahun 1940-an lagi tetapi pertumbuhannya menjadi lebih pesat ketika meletusnya fenomena dot com pada 1997-2000.

Pada hari ini, dianggarkan terdapat sekitar tujuh juta pusat data (data center atau data centre) di seluruh dunia sama ada yang mengendalikan operasi berskala kecil atau industri besar. Dalam artikel ini, kami ingin menceritakan 7 pusat data terbesar di dunia mengikut saiz dan kapasiti mereka.

7. Pusat Data Utah – 1,000,000 kaki persegi

Lokasi : Utah, Amerika Syarikat

Pusat Data Utah dibina untuk menampung usaha Komuniti Perisikan Amerika dalam memantau, melindungi dan memperkuat keselamatan negara. Kapasiti sebenar pusat data itu dirahsiakan bagi tujuan keselamatan. Namun, rekaan pusat data itu telah mengambil kira sebarang penambahbaikan di masa hadapan.

Kawasan seluas 900,000 kaki persegi digunakan untuk sokongan teknikal dan ruang pentadbiran. Baki 100,000 kaki persegi lagi digunakan untuk menempatkan pusat data Tahap 3. Keseluruhan projek pusat data ini bernilai RM 6 bilion.

Pusat data ini dikuasakan oleh komputer super Cray XC30 yang dapat menangani beban kerja lebih daripada 100 petaflop (100,000 trilion operasi sesaat).

Bangunan ini juga mempunyai sistem penyejuk, rumah bomba, 60 penjana tenaga, pusat kawalan pengunjung, pencawang elektrik dan kemudahan bahan bakar sendiri yang mampu menjadi backup selama tiga hari sekiranya berlaku kecemasan.

6. Pusat Teknologi Lakeside – 1,100,000 kaki persegi

Lokasi : Chicago, Amerika Syarikat

Sebuah syarikat pelaburan, Digital Realty, mengendalikan lebih daripada 280 pusat data di seluruh dunia. Pusat data mereka yang paling mengagumkan dan terbesar iaitu Pusat Teknologi Lakeside terletak di Chicago, Amerika.

Pada tahun 2005, Digital Realty membeli bangunan yang menjadi tempat pusat data itu dengan harga RM 565 juta. Pusat teknologi itu menempatkan pelbagai jenis pusat data untuk firma kewangan.

Salah satu ciri unik bangunan ini ialah sistem penyejuknya yang terdiri daripada tangki 8.5 juta gelen cecair seperti air garam sejuk. Tangki besar yang berfungsi sebagai simpanan tenaga termal ini juga mampu membantu mengurangkan kos dengan menjalakan penyejukkan pada luar waktu kerja.

5. Pusat Data Mesa (Apple) – 1,300,000 kaki persegi

Lokasi : Arizona, Amerika Syarikat

Pusat Data Mesa ini pada awalnya dikembangkan oleh First Solar Inc yang berpusat di Tempe, Arizona. Pada 2018, Apple mendedahkan bahawa mereka memperuntukkan sebanyak RM 8 bilion untuk terus meningkatkan kemudahan pusat data itu.

Apple menamakan tempat ini sebagai pusat arahan data global mereka dengan 150 orang pekerja ditugaskan untuk mengawasi data operasinya.

Untuk membekalkan pusat data ini dengan tenaga hijau, Apple telah membina loji tenaga solar seluas 300 ekar di Florence, Arizona. Loji itu mempunyai kapasiti sehingga 50 Megawatt yang mampu menampung tenaga ke 12,500 buah rumah.

4. Pusat Data CWL1 – 1,450,000 kaki persegi

Lokasi : Newport, Wales

Pusat Data CWL1 yang terletak di United Kingdom Barat ini merupakan pusat data terbesar di Eropah. Ia mempunyai beberapa pejabat dan ruang kerja khusus yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan. Selain itu, pusat data itu juga mempunyai banyak ruang perbincangan dan bilik persidangan.

CWL1 juga merupakan antara pusat data paling efisien di seluruh UK dengan keberkesanan penggunaan kuasa rendah. Pusat data ini mempunyai sambungan terus 400 kV SuperGrid, penjana tahan lasak dan sistem UPS (uninterruptible power supply).

Pusat data ini dibangunkan berdasarkan standard Tahap III dan ia menawarkan pengehosan awan (cloud hosting), Dewan Data peribadi dan kolokasi (pelayan dan peralatan rangkaian milik persendirian di pusat data pihak ketiga) pada harga yang kompetitif.

3. The Citadel Campus – 7,750,000 kaki persegi

Lokasi : Nevada, Amerika Syarikat

The Citadel Campus ini dibina dan dimiliki oleh Switch, sebuah syarikat Las Vegas yang membangun dan mengendalikan kemudahan pusat data berskala besar.

Ruang The Citadel Campus ini dibina untuk melebihi standard Tahap IV. Rangkaian gentian (fiber) di pusat data ini mampu menghantar maklumat selaju 9 milisaat ke San Diego dan Los Angeles dengan sambungan 7 milisaat ke pusat data TAHOE RENO 1 di The Citadel Campus.

Dengan lebih daripada 260 teknologi yang dipatenkan, Switch merupakan salah satu penyedia perkhidmatan data yang paling inovatif. Syarikat itu juga mempunyai beberapa binaan hebat seperti :

  • Sistem pendawaian bersepadu dan alat sokongan perisai terma untuk pusat data.
  • Dek bumbung berganda untuk menahan angin sehingga 200 batu sejam
  • Sistem pelayan dengan peralatan pelesapan haba.

2. Pusat Data China Mobile – 7,750,015 kaki persegi

Lokasi : Hohhot, China

Pusat Data China Mobile ini terletak di Taman Maklumat Inner Mongolia di Hohhot. Dengan kapasiti perkhidmatan lebih daripada 40,000 rak di bangunan sebesar 720,000 meter persegi, ia adalah salah satu pusat data pengkomputeran awan (cloud computing) terbesar dunia.

Keseluruhan kemudahan itu dibina di kawasan seluas 261 ekar dengan pelaburan awal sebanyak RM 7.75 bilion. Pusat data ini berfungsi sebagai sistem sokongan operasi pusat yang menyediakan servis perusahaan, pengurusan jaringan serta pusat kajian dan pembangunan bagi teknologi baru seperti 5G.

1.  Pusat Data China Telecom – 10,763,910 kaki persegi

Lokasi : Hohhot, China

Syarikat China Telecom mempunyai pusat data terbesar dunia dan menguasai lebih daripada 50% pasaran data di China. Ia juga mempunyai jaringan global yang luas, merangkumi 400 pusat data di seluruh dunia.

Pusat data terbesar mereka terletak di Taman Maklumat Inner Mongolia di kawasan seluas 247 ekar dengan pelaburan awal sebanyak RM 10 bilion. Mereka memilih taman maklumat ini atas dua sebab utama iaitu :

  • Inner Mongolia terletak di lingkaran ekonomi Beijing-Tianjin, secara geografinya sesuai untuk penghantaran data dan perkhidmatan maklumat.
  • Suhu purata kawasan itu adalah 6°C selama lapan bulan dalam setahun. Ini bermakna mereka mendapat penyejukan udara percuma.

Pusat Data China Telecom ini digunakan bagi penyimpanan data pelbagai syarikat telekomunikasi, pengkomputeran awan (cloud computing) dan kewangan. Antara beberapa syarikat besar yang menggunakan perkhidmatan pusat data ini termasuklah Alibaba, Baidu dan Tencent.

China Telecom juga telah menetapkan dasar ‘hijau’ untuk pusat data mereka bagi meminimumkan penggunaan tenaga. Mereka telah menekankan dalam pengumpulan air hujan untuk mengurangi penggunaan air domestik. – Iluminasi