68 anggota PDRM Perak positif Covid-19 sejak Mac lalu
Seramai 68 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak positif Covid-19 ketika bertugas di barisan hadapan memerangi wabak berkenaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah semasa anggota polis positif Covid-19 yang masih dirawat ialah seramai 30 orang manakala 29 lagi sudah sembuh.
Menurutnya, dalam tempoh sama sejak Mac lalu, seramai 938 anggota telah menjalani kuarantin dan 78 daripadanya masih menjalani kuarantin.
“Kebanyakan kes anggota polis yang positif Covid-19 disebabkan tugas mereka semasa berdepan orang kena tuduh atau OKT yang ditahan di lokap. Apabila ujian pertama dilakukan terhadap anggota, mereka negatif tetapi kemudiannya disahkan positif Covid-19 selepas ujian kedua.
“Tidak dinafikan ada sebab-sebab lain punca jangkitan kepada anggota polis tetapi punca utama ialah ketika mereka menjalankan tugas. Sebagai petugas barisan hadapan, anggota polis memang sentiasa terdedah kepada risiko jangkitan wabak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Sanitasi Awam Bersama Persatuan Keselamatan Komuniti (PKK) Menglembu di sini hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan ada anggota di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak yang positif Covid-19, Mior Faridalathrash mengesahkan perkara itu.
“Betul memang ada dalam kalangan anggota kita (di IPK Perak) yang positif tapi ia bukan melibatkan anggota di IPK saja tetapi di beberapa daerah lain sebab kita hari-hari berdepan dengan tugasan di barisan hadapan, jadi kita terdedah jangkitan.
“Jadi saya selalu mengingatkan anggota polis, mereka juga perlu jaga prosedur operasi standard (SOP), jika perlu pakailah sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika menjalankan tugas apatah lagi jika melibatkan kes siasatan jenayah di lokasi,” katanya.
Sementara itu, mengenai program sanitasi awam yang dilancarkan hari ini, Mior Faridalathrash berkata, melalui program itu, polis juga meminta PPK untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya mematui SOP.
“Di Perak, terdapat 60 PKK yang menjalankan aktiviti rondaan bersama PDRM, menjaga keselamatan komuniti setempat dan merupakan rakan kerjasama polis dalam mencegah jenayan yang lebih efektif
“Dalam usaha untuk menangani Covid-19, kita juga meminta PPK bersama kita untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi SOP ,” katanya.
Dalam program tersebut, PDRM Perak turut memberikan sumbangan 17 kotak pelitup muka, 11 kotak sarung tangan getah dan 20 botol cecair nyah kuman kepada PPK Menlembu untuk digunakan sebagai langkah keselamatan ketika mereka melakukan kawalan komuniti. – UO