6 pantang larang masyarakat Melayu yang mempunyai maksud tersirat

6 pantang larang masyarakat Melayu yang mempunyai maksud tersirat

 

Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan pelbagai pantang-larang yang masih bertahan sehingga ke hari ini.

Biasanya, pantang-larang ini kerap diungkapkan sebagai ingatan kepada generasi muda. Hal ini kerana, ada pantang-larang yang disebut itu berbentuk peraturan dan sering disekalikan dengan kesan atau akibat jika dilanggar.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan, pantang-larang ini walaupun kedengaran sedikit aneh dan sukar diterima, namun tujuannya adalah untuk menerapkan nilai-nilai baik kepada masyarakat.

Contohnya dapat dilihat dalam pantang-larang yang berkait rapat dengan tegahan-tegahan terhadap perbuatan tertentu.

Selain itu, pantang-larang juga boleh dilihat sebagau cara masyarakat dahulu melakukan teguran secara tidak langsung atau berkias. Teguran secara halus ini dapat menjaga maruah serta air muka individu yang ditegur.

Kita sendiri pun pernah ditegur oleh nenek atau datuk dengan menggunakan pantang larang, kan? Biasanya, kita hanya diam sahaja ketika ditegur walaupun pantang-larang itu kedengaran aneh.

Apa tidaknya, perbuatan yang ditegah itu selalunya langsung tidak mempunyai kaitan dengan akibat yang perlu ditanggung sekiranya tegahan dilanggar.

Namun disebalik itu, pantang-larang yang disebut itu ada logiknya sendiri.

Jangan lalu bawah ampaian, nanti pening kepala

Semasa kanak-kanak, kita sering mendengar pantang larang ini, kan? Jika diamati, langsung tiada kaitan bagaimana tindakan lalu di bawah ampaian boleh menyebabkan kita sakit kepala.

Tetapi, pantang-larang ini ada maknanya yang tersendiri. Ramai yang berpendapat, ungkapan berlapik itu adalah tegahan kepada kanak-kanak supaya tidak bermain di bawah ampaian hingga menyebabkan baju yang disidai terjatuh.

Pakaian yang terjatuh sudah tentu akan terkenan kotoran dan perlu dibasuh semula. Jika difikirkan, ada logiknya juga kerana pada zaman dahulu, mesin basuh belum dicipta. Ketika itu, tugas mencucui pakaian dibuat secara manual dan perlu diakui ia bukan pekerjaan yang mudah.

Jangan makan berpindah tempat, nanti kahwin ramai

Pantang-larang ini juga selalu kita dengar ketika kita masih kecil. Ketika itu, kita hanya menerima walaupun tidak memahami apa kaitannya, kan?

Namun logiknya, jika makan beralih-alih tempat, maka semakin banyaklah tempat yang menjadi kotor dengan tumpahan makanan. Jadi satu hal pula untuk dibersihkan nanti.

Selain itu, makan di satu tempat juga lebih tertib dan beradab.

Anak dara tak elok duduk di tangga, nanti jodoh lambat sampai

Frasa ini merupakan pantang-larang yang paling biasa didengari oleh anak dara zaman dulu.

Namun, ada sebabnya kenapa pantang larang ini muncul. Seperti yang kita semua sedia maklum, rumah tradisional Melayu biasanya dibina di atas tiang dan dihubungkan dengan tangga daripada tanah.

Jika seseorang itu duduk di tangga, ia akan menghalang laluan dan menyukarkan pergerakan pengguna yang lain.

Selain itu, orang dahulu kala juga biasanya memakai kain sarung setiap hari. Jadi, perbuatan duduk di tangga mungkin tidak sopan, lebih-lebih lagi bagi seorang wanita jika dipandang dari bawah.

Jangan meniarap kaki ke atas, nanti mak atau ayah mati

Meniarap merupakan satu posisi yang tidak bagus untuk kesihatan. Jika duduk dalam posisi ini secara berpanjangan, ia boleh menyebabkan dada menjadi sakit dan kaki terasa kebas.

Namun dalam pantang larang, ada satu posisi yang sering dikaitkan dengan akibat yang sangat ditakuti oleh kita semua, khususnya kepada kanak-kanak. Posisi tersebut adalah menairap sambil melipatkan kaki ke atas.

Perbuatan tersebut sebenarnya kurang sopan dan tidak beradab dalam masyarakat Melayu. Seperti yang disebutkan tadi, orang-orang dahulu selalunya memakai kain sarung di rumah.

Jika kaki diangkat begitu, kain akan terselak dan boleh menampakkan bahagian-bahagian badan yang tidak sepatutnya didedahkan.

Anak dara tak elok menyanyi di dapur, nanti dapat suami tua

Pantang-larang ini juga kedengaran tidak logik juga, kan? Namun, perbuatan anak dara menyanyi ketika memasak mungkin dianggap tidak manis.

Memasak juga memerlukan tumpuan yang tinggi kerana perlu mengendalikan banyak perkara. Selain perlu mengingati resipi, anda juga perlu mengendalikan peralatan tajam serta berbahaya seperti pisau dan api.

Jika tumpuan terganggu dengan perkara-perkara lain, kualiti makanan yang disediakan mungkin terjejas atau lebih parah, kemalangan di dapur boleh berlaku.

Pada masa sama, menyanyi juga boleh menyebabkan air liur yang terpercik mencemarkan makanan.

Jangan potong kuku malam-malam, nanti mak mati

Ini pun salah satu pantang-larang yang sangat popular dalam masyarakat. Sekali lagi, juga kedengaran tidak logik.

Namun begitu, pantang-larang ini boleh difahami sebagai tegahan untuk mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini.

Sebelum tenaga elektrik ditemui dan lampu dicipta, kebanyakan rumah pada waktu malam bergantung kepada lampu minyak tanah atau lilin.

Cahaya ini tidak cukup terang untuk mencahayai segenap penjuru rumah. Jadi, jika kita memotong kuku pada waktu malam, dikhuatiri boleh terkena isi pada jari dan menyebabkan jari luka.