563 individu di Perak ditahan terlibat salah guna ketum

563 individu di Perak ditahan terlibat salah guna ketum

 

Seramai 563 individu di negeri ini ditangkap sepanjang tahun lalu kerana terbabit dengan kes penyalahgunaan daun ketum.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu bagaimanapun menunjukkan penurunan 11.8 peratus berbanding 639 kes pada 2020.

Katanya, penurunan sebanyak 76 kes itu berikutan operasi berterusan jabatan tersebut dalam membanteras penyalahgunaan daun ketum di negeri ini.

“Berlaku peningkatan jumlah rampasan pada tahun ini apabila merekodkan 13,819 kilogram (kg) daum ketum yang dirampas berbanding tahun lalu sebanyak 11,143kg. Peningkatan sebanyak 24 peratus itu disumbangkan hasil rampasan dalam operasi di daerah Gerik, Hilir Perak, Ipoh, Kuala Kangsar dan Perak Tengah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan statistik, golongan yang sering membeli dan terjebak dalam penagihan air ketum terdiri dalam kalangan belia berusia 25 tahun ke atas.

Katanya, mereka daripada kumpulan itu boleh dikategorikan sebagai pengguna ketum tegar.

“Golongan yang berusia 19 hingga 24 tahun juga ada yang terpengaruh untuk mencuba menggunakan ketum tetapi lebih dalam kumpulan sosial mereka sendiri. Bagi golongan remaja berusia 18 tahun ke bawah pula, 17 orang ditangkap pada 2020 berbanding 12 orang tahun lalu. Ini menunjukkan penurunan lima kes.

“Selain itu, rekod oleh JSJN juga menunjukkan hampir tiada masalah penyalahgunaan air ketum oleh pelajar di negeri ini. Misalnya hanya satu kes direkodkan pada 2020 manakala tiada tangkapan melibatkan pelajar sekolah tahun lalu,” katanya.

Menurut Mior Farid, sumber utama daun ketum diperoleh adalah dari Kedah namun terdapat juga sebahagian kecil diperoleh dari beberapa kawasan di Perak.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi dan tidak terlibat dengan aktiviti penjualan dan pembelian sama ada daun atau air ketum. Jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.