51 SJR susulan PKPB – Polis Perak

51 SJR susulan PKPB – Polis Perak

Polis Perak mengadakan 51 sekatan jalan raya (SJR) yang meliputi 28 bagi sempadan daerah dan 23 di sempadan negeri, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Menurut kenyataan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng pada Isnin, di samping itu sebanyak 450 pasukan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga digerakkan bagi tujuan tersebut.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan PKPB bermula 9 November sehingga 6 Disember ini di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Perak.

“Kedua-dua penugasan itu melibatkan 1,800 orang pegawai polis di seluruh kontinjen Perak setiap hari,” katanya.

Jelasnya lagi, polis Perak turut mengambil inisiatif melakukan hebahan berkaitan pematuhan SOP menerusi kereta peronda polis yang meronda di kawasan penugasan.

“Secara keseluruhannya seramai 5,700 pegawai polis boleh diatur gerak bagi melaksanakan tugas-tugas pemantauan dan pematuhan PKPB di seluruh perak,”ujarnya.

Beliau juga menasihatkan semua pihak agar mematuhi setiap SOP dan peraturan yang ditetapkan dalam memerangi pandemik covid-19.

Sumber: Suara Perak