5 sekawan didakwa culik dan bunuh lelaki

5 sekawan didakwa culik dan bunuh lelaki

Lima sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta bulan lalu.

Tertuduh, Basharuddin Hammersla, 26; S Jeyenthiran, 34; S Simeon, 31; T Selvamani, 40, dan V Thiruganesh, 36, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka bersama dua lagi yang masih bebas dituduh melakukan bunuh menyebabkan kematian kepada A Preshna, 40.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Che Puteh, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam lebih kurang 7.30 pagi hingga 5.30 petang pada 23 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, empat daripada tertuduh turut berdepan pertuduhan menculik A Preshna dengan tujuan orang itu dibunuh atau dilepaskan dengan sedemikian hingga mendatangkan kepadanya bahaya dibunuh.

Tertuduh, Jeyenthiran, Simeon, Basharuddin dan Selvamani didakwa melakukan perbuatan itu pada hari yang sama di bangunan terbiar Jublee Park dalam daerah Kinta pada jam lebih kurang 7.30 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam Nahtan Krishnan dan Charan Singh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 27 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditemui terapung di Sungai Kinta di sini dipercayai dibunuh.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu,mangsa ditemui orang awam dengan hanya memakai seluar selain keadaan muka dan bahu hingga lengan tangan kiri hancur.

Polis mengesahkan terdapat luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada tangan kanan.

Selain itu banyak luka lebam di keseluruhan badan mangsa disyaki dipukul menggunakan objek yang tumpul seperti penumbuk, kayu atau rotan.

Sumber: Sinar Harian

COMMENTS