5 lelaki termasuk anggota tentera ditahan lakukan provokasi, ugutan terhadap pelanggan McDonald’s

5 lelaki termasuk anggota tentera ditahan lakukan provokasi, ugutan terhadap pelanggan McDonald’s

 

Satu rakaman tular memaparkan sekumpulan lelaki yang sedang berkempen memboikot premis makanan segera McDonald’s di Sungai Isap, Kuantan dan membuat provokasi terhadap pelanggan premis berkenaan.

Dalam rakaman berkenaan sekumpulan lelaki yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Triton mengibarkan bendera Palestin dan menyelar tindakan pelanggan yang sedang berbaris menunggu giliran di pandu lalu.

“Boikot musim jerla korang,” jerit salah seorang daripada mereka.

Susulan itu juga, dilaporkan lima lelaki termasuk seorang anggota tentera ditahan polis kerana didakwa melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 27 hingga 43 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurut Sinar Harian, penahanan kelima-lima suspek yang masing-masing bekerja sebagai pegawai bank, jurujual kereta, kontraktor, peniaga dan anggota tentera, dilakukan kira-kira jam 3.30 petang, pada Sabtu.

“Siasatan mendapati, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Kita juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton, sehelai bendera bersama batang pancing, satu unit telefon bimbit jenama Redmi dan motosikal Yamaha LC, topi keledar, sehelai baju berwarna putih seluar biru serta alat kawalan jauh, ” katanya.

Salah seorang daripada suspek telah bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap pelanggan pada hari kejadian.

“Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut,” katanya.