400 isi rumah terima bantuan kotak makanan dari Perbadanan Menteri Besar Perak

400 isi rumah terima bantuan kotak makanan dari Perbadanan Menteri Besar Perak

Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menghulurkan bantuan kotak makanan kepada 400 isi rumah di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, pada Selasa.

Dalam satu kenyataan MB Inc berkata, bantuan makanan itu merupakan antara inisiatif MB Inc dalam usaha membantu meringankan beban 10,000 keluarga yang terkesan akibat pandemik di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPD.

Pengarah Penjara Tapah, Timbalan Pesuruhjaya Kamarulzaman Mamat, berterima kasih dengan sumbangan yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang disifatkan tepat pada masanya.

Sumbangan disalurkan oleh Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Siti Kamesah Bee M. Hashim.

Antara bantuan lain termasuk pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kluster baharu yang dikenali sebagai Penjara Tapah.

Setakat ini, Perak mencatat 522 kes COVID-19 dan tujuh kematian.

Sumber: Suara Perak