40 pekerja terperangkap, terowong dalam pembinaan runtuh
40 pekerja binaan terperangkap selepas terowong laluan yang dibina runtuh di utara India, semalam.
Menurut pegawai tindak balas bencana negeri, Durgesh Rathodi, pasukan penyelamat giat mengeluarkan mangsa dari bawah timbunan di Himalaya Uttarakhand.
“Kejadian berlaku ketika sekumpulan pekerja sedang bergerak keluar dan pekerja gantian sedang masuk.
“Kira-kira 200 meter terowong telah runtuh dengan anggaran 40 hingga 41 pekerja terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.
Rathodi berkata, satu mesej dihantar kepada pekerja yang terperangkap melalui tiub yang mengepam oksigen ke bahagian terhalang terowong untuk memastikan mereka selamat.
“Oksigen sedang dibekalkan tetapi lebih banyak runtuhan berlaku ketika penyelamat cuba mengalihkan halangan.
“Malah, belum ada maklum balas kepada mesej itu dari dalam sana,” katanya.
Gambar yang dikongsikan pasukan penyelamat menunjukkan, timbunan konkrit yang besar menghalang terowong itu dengan bar logam berpintal pada bumbungnya yang pecah mencucuk di hadapan runtuhan.
Terowong itu adalah sebahagian daripada Projek Jalan Char Dham Perdana Menteri Narendra Modi, yang bertujuan meningkatkan ketersambungan untuk beberapa tempat suci Hindu paling popular di India serta kawasan yang bersempadan dengan China.
Terowong sepanjang 4.5 kilometer itu sedang dibina antara Silkyara dan Dandalgaon untuk menghubungkan dua tempat suci Hindu iaitu Uttarkashi dan Yamnotri.