Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak mengusir 40 lagi bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di beberapa kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak, dekat sini, semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Shahrizan Raman, kesemua bot tersebut dikesan ketika Kapal Maritim (KM) Rawa sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri Perak.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia.
“KM Rawa telah mengiring kesemua bot nelayan Indonesia itu hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik menceroboh perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrizan berkata, dalam tempoh 18 Mac hingga sekarang, sejumlah 199 bot nelayan Indonesia telah diusir keluar dari perairan Malaysia selepas kesemuanya dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.
Menurutnya, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia juga adalah untuk menyekat penyebaran wabak COVID-19, sekaligus membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan di kalangan rakyat Malaysia.
“Aset-aset Maritim Negeri Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik-titik panas berhampiran persempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak,” tegasnya.