4 lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

4 lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

 

Empat lelaki didakwa atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pada Jumaat.

Mengikut kertas pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, dan seorang lelaki berusia 17 tahun 10 bulan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu dengan remaja perempuan yang sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Navin Punj, Mahajoth Singh dan S Sundarajan.

Ainul Shahrin menetapkan sebutan semula kes pada 2 September depan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000, RM8,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 22 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Polis Perak menahan enam lelaki termasuk remaja selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan dalam kejadian di sini pada 16 Julai.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun itu ditahan sekitar Ipoh pada Rabu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.