4 individu dikompaun RM5,000 rentas negeri di Muallim

4 individu dikompaun RM5,000 rentas negeri di Muallim

Empat individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kompaun itu dikeluarkan ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Stesen Bas Tanjung Malim dan SJR Plaza Tol Slim River serta ‘snap check’ di Jalan Kuala Slim.

“Selain tidak memiliki surat kebenaran polis, mereka juga didapati telah menyalahgunakan surat majikan bagi tujuan merentas negeri.

“Kesemua mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 dan telah diarahkan untuk berpatah balik,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, selain plaza tol, terdapat dua SJR didirikan di laluan masuk ke Perak melalui sempadan Selangor iaitu di Jalan Persekutuan Taman Universiti/Hulu Bernam dan Sempadan Behrang-Selisik.

Katanya, sekatan turut dibuat di jalan alternatif yang menghubungkan Tanjung Malim dengan Hulu Bernam, Selangor di Jambatan Stesen Bas Tanjung Malim.

“Hanya jalan masuk dari Hulu Bernam ke pekan Tanjung Malim sahaja yang dibuka sehala di situ dan pengguna dari arah Tanjung Malim ke Hulu Bernam boleh menggunakan Jalan Persekutuan Taman Universiti untuk ke arah selatan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, aliran trafik memasuki sempadan Perak di Tanjung Malim adalah terkawal sepanjang musim perayaan ini.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui jalan di daerah ini mendapati rata-ratanya mempunyai surat kebenaran dikeluarkan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di tempat masing-masing,” katanya. – Utusan