35 kes gagal patuh SOP PKP dalam tempoh 2 hari

35 kes gagal patuh SOP PKP dalam tempoh 2 hari

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mengeluarkan 35 tawaran kompaun ke atas individu dan premis yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua hari kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, nilai kompaun dikeluarkan ialah RM71,500 termasuk RM5,000 kompaun masing-masing kepada dua lelaki yang melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis.

“Kesalahan merentas negeri dilakukan seorang lelaki berusia 28 tahun dari Kuantan, Pahang manakala pergerakan rentas daerah dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Perak Tengah.

“Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan pada 25 Mei (semalam) atas alasan berjumpa ahli keluarga dan urusan harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Omar, kesalahan lain pula melibatkan lapan premis gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan premis terlibat diarahkan ditutup serta-merta.

Selain itu, jelasnya, 17 individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka, tiga individu tidak melakukan penjarakan fizikal, tiga individu tidak patuh arahan kawalan pergerakan serta dua gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis.

Tegasnya, semua kesalahan itu dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Orang ramai perlu sedar bahawa kadar jangkitan Covid-19 yang berlaku kini semakin tinggi, oleh itu perlu ada kesedaran kendiri untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti.

“Saya juga menasihatkan orang ramai  untuk mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak MKN bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya.

Katanya, IPD Manjung tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuatkuasa sekarang. – Utusan