35 ekor kambing mati dalam kebakaran di Pasir Putih

35 ekor kambing mati dalam kebakaran di Pasir Putih

 

SEBANYAK 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di Ipoh, Perak mati akibat kebakaran tengah malam Isnin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Rozaidee Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.

“Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat.

“Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada 1.30 pagi.

Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.