“Berat badannya tinggal 26kg, dah tak kuat…” – Azhan Rani pasang CCTV pantau keadaan ibu kian uzur

Pelakon Azhan Rani memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keadaan ibunya yang semakin uzur.
Azhan, 47, berkata, biarpun ibunya, Salmah Budin, 78, tinggal bersama adiknya, tetapi dia tetap memantau keadaannya menerusi CCTV supaya dapat melihat perkembangan ibunya setiap hari terutama ketika sedang sibuk bekerja.
Pelakon dikenali menerusi watak Ustaz Madi itu berkata, dia lega kerana ibunya tidak tinggal bersendirian, sebaliknya ditemani keluarga adiknya.
Azhan berkata, dia amat berterima kasih kepada adiknya yang dianggapnya sebagai hero kerana dialah menjaga ibu dan arwah bapa.
“Setiap kali nak tinggalkan mak, saya sangat risau. Jadi, saya pasang CCTV supaya boleh pantau keadaan mak setiap hari.
“Mak dalam keadaan uzur, berat badannya hanya tinggal 26 kilogram sahaja. Dia sudah tak kuat untuk uruskan diri, nak ke tandas pun kena ada temankan.
“Nak makan pun kena paksa sebab mak sudah tiada selera makan. Peringkat mak sekarang sudah ke arah kebudak-budakkan.
“Baru-baru ini, bangun pagi, kata tak larat dan seperti putus asa, suruh makan pun tak nak. Itu yang dia menangis dan minat dihantar ke rumah orang tua-tua sebab tak nak susahkan anak-anak.
“Jadi, saya pun jawab secara berseloroh, mak tak perlu ke rumah orang tua sebab anak mak pun sudah tua. Saya kata begitu sebab tak nak jadikan keadaan lebih tertekan,” kata Azhan.
Katanya lagi, dia akan membawa ibunya mengambil angin di luar bagi memastikannya tidak tertekan akibat terperap di rumah.
“Sesekali saya bawa juga mak keluar, tetapi tak boleh kerap macam dulu sebab dia sudah tak larat. Mak pun makan bersuap, jadi ada masanya bersepah sikit bila makan, jadi saya jarang bawa mak keluar sekarang.
“Bukan apa, saya cuma tak mahu orang tak selesa jika melihat mak makan bersepah dan saya sendiri pun kurang selesa kalau orang asyik memandang,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjaya seninya pula, kata Azhan bakal terbabit dalam drama 24 episod terbitan Radius One berjudul Seribu Tahun.
“Watak kali ini berbeza apabila membawa karakter lelaki mengalami masalah dementia, manakala isterinya pula seorang lembam yang dibawakan Noorkhiriah,” katanya.