Lelaki bergaji RM1,700 kecewa tak dapat beli Honda Civic FL1 RM163,000

Lelaki bergaji RM1,700 kecewa tak dapat beli Honda Civic FL1 RM163,000

 

Seorang penjual kereta, Wan M Faris, meluahkan rasa kecewa dengan sikap sebahagian pembeli generasi muda yang dianggapnya tidak beradab.

Dalam hantaran di media sosial, Wan menjelaskan dia jarang memuat naik perbualannya dengan pelanggan, tetapi kesabarannya tercabar kali ini kerana iklan sering menerima komen negatif jika harga tidak memenuhi kehendak generasi muda atau Gen Z.

“Selagi tak dapat harga dia nak, selagi tu dia ajak kawan-kawan dia comment benda merepek,” katanya.

Dia juga menambah, komen-komen seperti itu perlu diabaikan, bukan kerana sombong tetapi demi kebaikan diri.

“Selagi belum mampu untuk capai sesuatu, teruskan usaha sebaik mungkin. Jangan ajar diri terlalu manja. Uruskan wang anda dengan bijak!” katanya lagi.

Berdasarkan perbualan WhatsApp yang dikongsikan, seorang pembeli bertanya sama ada harga kereta Honda Civic FL1 bernilai RM163,000 boleh dikurangkan kepada RM100,000, dengan alasan gajinya hanya RM1,700. Wan menegaskan, harga kereta itu tidak boleh dikurangkan sebanyak itu.

“Tak dapat dik. Dari RM163K terus menjunam jadi RM100K,” jelasnya.

Pembeli itu membalas dengan sinis dan menuduh Wan “menolak rezeki” dan tidak akan menyarankan rakan-rakannya membeli daripada Wan. Namun, Wan menjelaskan keputusannya logik dan percaya rezeki adalah ketentuan Allah.

“Bukan tolak rezeki, memang tak masuk akal FL1 harga tu,” balasnya yang juga tidak kisah jika pembeli itu tidak mahu menyarankan dia kepada rakan-rakannya.

Di ruangan komen, seorang netizen bernama Sufi, menasihatkan golongan muda mengukur baju di badan sendiri agar lebih bijak menguruskan kewangan.

“Income RM1.7k tapi selera nak FL1. Pendapat saya, better ikut kemampuan, jangan ikut nafsu. Diri sendiri yang terseksa di kemudian hari. Usaha lebih lagi, at least income kena lima angka baru selesa untuk pakai FL1,” katanya.