17 petua halau tikus dalam rumah paling berkesan

17 petua halau tikus dalam rumah paling berkesan

 

Tikus merupakan sejenis haiwan perosak yang mendiami kawasan kediaman manusia dan boleh menyebarkan pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti leptospirosis dan salmonellosis.

Tikus juga boleh menyebabkan kerosakan struktur dan harta benda di dalam rumah. Gigi tikus yang sentiasa tumbuh mendorong mereka untuk menggigit pelbagai objek seperti perabot, dinding, wayar elektrik, dan paip. Kerosakan ini boleh menyebabkan kebakaran elektrik, kebocoran air, dan kerosakan lain.

Kehadiran tikus di dalam rumah juga boleh mengganggu tidur dan menyebabkan tekanan dengan bunyi tikus yang berlari di atas siling . Tikus juga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, terutamanya dari najis dan air kencing mereka. Gunakan gabungan kaedah moden dan tradisional untuk halau tikus dari rumah.

Terdapat pelbagai cara untuk membasmi tikus seperti menggunakan racun tikus, perangkap tikus dan lain-lain petua tradisional seperti daun pandan dan kapur barus. Berikut ialah penerangan lanjut tentang 20 kaedah untuk menghalau tikus dalam rumah:

1. Gunakan Perangkap Tikus

Perangkap tikus merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk menangkap tikus. Terdapat pelbagai jenis perangkap tikus di pasaran, seperti perangkap pelekat, perangkap sangkar, dan perangkap maut.

Pilih perangkap yang sesuai dengan keperluan anda dan letakkan di kawasan yang kerap dilalui oleh tikus. Pastikan untuk memeriksa perangkap setiap hari dan buang tikus yang terperangkap dengan segera.

Untuk lebih berkesan, cuba guna sangkar tikus yang disertakan dengan jaring. Letakkan sangkar tikus dengan makanan sebagai umpan, dan pada masa yang sama letakkan jaring di atas sangkar. Jaring ini bertujuan untuk menjerat tikus yang tidak terkena sangkar. Anda perlu kreatif dalam menghasilkan jerat tersebut.

2. Gunakan Racun Tikus

Racun tikus boleh digunakan untuk membunuh tikus dengan cepat dan berkesan. Terdapat beberapa jenama racun yang sangat berbahaya tetapi berkesan dalam membunuh tikus dalam masa beberapa saat. Racun tikus yang berbentuk bulat kecil seperti bijian boleh diletakkan dalam kuantiti yang sedikit atau banyak berdasarkan bilangan tikus yang ada.

Namun, penggunaan racun tikus perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ia juga berbahaya kepada manusia dan haiwan peliharaan. Sekiranya anda memilih untuk menggunakan racun tikus, pastikan untuk meletakkannya di tempat yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Ikut arahan penggunaan pada label produk dengan teliti.

Taburkan racun di laluan tikus. Tikus akan termakan dan mati serta-merta di kawasan racun tersebut. Ini memudahkan anda untuk membersihkan kediaman dan membuang bangkai tikus. Anda tidak perlu risau terkena kencing tikus, digigit oleh tikus, atau mengeluarkan modal untuk perkhidmatan kawalan serangga. Kelemahan kaedah ini ialah apabila tikus mati, anda perlu membuang bangkai yang amat busuk. Jika anda mempunyai suami yang baik, anda boleh meminta pertolongan daripadanya.

3. Gunakan Umpan Beracun

Umpan beracun merupakan makanan yang dicampur dengan racun tikus. Letakkan umpan beracun di kawasan yang kerap dilalui oleh tikus, tetapi jauhkan daripada capaian kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

Pastikan untuk membuang bangkai tikus yang mati akibat memakan umpan beracun dengan segera untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

4. Tutup Lubang dan Celah Pada Dinding dan Lantai

Tikus boleh memasuki rumah melalui lubang dan celah kecil pada dinding dan lantai. Periksa seluruh rumah anda dan tutup sebarang lubang atau celah yang ditemui dengan menggunakan bahan yang tahan gigitan tikus seperti konkrit, logam, atau kayu.

Pastikan juga untuk menutup lubang pada kabinet dapur, siling, dan dinding yang bersambung dengan saluran paip.

5. Halau Guna Daun Pandan

Guna daun pandan sebagai salah satu petua untuk menghalau tikus. Daun pandan merupakan sumber wangian semulajadi yang tidak disukai oleh tikus. Tikus sangat tidak suka dengan bau pandan ini. Anda boleh menanam pokok pandan dalam pasu di luar rumah dan menggunakannya bila-bila masa tanpa perlu membeli di kedai. Secara tidak langsung, ia dapat menjimatkan wang anda daripada membeli pewangi kediaman yang mahal.

6. Halau Guna Sisa Uncang Teh

Bagi penggemar minuman teh uncang seperti BOH, Lipton atau lain-lain, jangan buang sisa teh uncang tersebut kerana ia juga boleh menghalau tikus. Ambil teh uncang yang sudah digunakan dan gantungkan di tempat yang selalu dilalui oleh tikus. Bau teh uncang tersebut sangat tidak disukai oleh tikus dan dapat menghalang mereka daripada kembali ke tempat itu.

7. Halau Buah Mengkudu

Buah mengkudu banyak dimanfaatkan sebagai bahan utama dalam pembuatan produk moden mahupun tradisional. Potong buah mengkudu yang tidak terlalu muda dan tidak masak, kemudian letakkan di penjuru atau di sekitar kawasan laluan tikus sebagai penghalang mereka untuk kembali ke tempat yang sama.

Mengkudu mengandungi alizarin, fenol, glikosida, antaraquinon dan lain-lain kandungan zat alam semula jadi yang aktif, menjadikannya sebagai antimikrobia, antibakteria dan anti-inflamasi. Ia juga mampu untuk melemahkan serangga dan haiwan-haiwan kecil yang lain.

8. Halau dengan Daun Salam

Daun salam (atau juga dipanggil daun samak) bukan sahaja digunakan sebagai penyedap rasa makanan, tetapi juga boleh digunakan untuk membasmi tikus. Ekstrak etanol yang terdapat pada daun salam sangat tidak disukai oleh tikus kerana baunya yang menyengat deria hidu haiwan ini.

Taburkan daun salam dalam kuantiti yang agak banyak di tempat yang dilalui oleh tikus supaya mereka betul-betul lari dari kawasan rumah anda.

9. Halau Tikus Guna Kapur Barus

Walaupun mungkin menimbulkan kerisauan orang akan menganggap ada mayat dalam rumah, penggunaan kapur barus untuk menghalau tikus memang berkesan. Hancurkan beberapa kapur barus secara kasar, kemudian taburkan di kawasan-kawasan yang menjadi lubuk tikus. Cara ini cukup efektif kerana tikus sememangnya tidak suka dengan bau kapur barus yang menyengat.

10. Gunakan Daun Durian Belanda

Letakkan beberapa helai daun durian belanda di tempat yang selalu dilalui tikus atau sarang tikus. Gantikan daun itu selepas 2 atau 3 hari sekali di tempat yang sering menjadi laluan tikus. Letakkan juga di dalam almari pakaian. Insya-Allah, tikus tidak akan datang lagi.

11. Gunakan Serai Wangi

Serai wangi sangat terkenal dalam menghalau serangga dan juga tikus. Ia mengandungi zat penyembuhan seperti antiseptik, analgesik, diuretik, galactogogue, tonik, sedatif, antidepresan, penghalang bakteria, penghapus kulat, antimikrobial, astringen dan menghapus bau busuk.

Letakkan atau semburkan serai wangi ke tempat laluan tikus atau dalam lubang tempat tikus tinggal untuk menghalau mereka dengan cepat dan berkesan. Terdapat banyak produk serai wangi yang dijual di pasaran dalam bentuk serbuk, cecair dan juga kiub.

12. Gunakan Alat Penghalau Tikus Ultrasonik

Alat penghalau tikus teknologi ultrasonik mengeluarkan frekuensi 22-65KHz dan mampu menghalau tikus, lipas, nyamuk dan perosak lain dalam kawasan 80-120 meter persegi tanpa menggunakan bahan kimia.

Alat penghalau tikus ultrasonik mengeluarkan bunyi berfrekuensi tinggi yang tidak dapat didengar oleh manusia tetapi akan mengganggu dan membuatkan hidup tikus merana. Padan muka dia.

Alat untuk halau tikus teknologi ultrasonic ini jimat tenaga dengan penggunaan elektrik hanya 5-6W. Ia beroperasi pada voltan AC 90V-250V dan suhu 0-40°C. Alat ini sesuai digunakan di rumah, pejabat, hotel, dan gudang.

Hanya perlu dipasang pada soket dinding setinggi 80-120cm dari lantai, jauh dari permaidani atau langsir untuk hasil yang optimum. Penyelenggaraan hanya perlu lap kering, dan boleh digunakan beberapa unit sekaligus untuk kawasan yang lebih luas.

Walau bagaimanapun, keberkesanan alat ini masih diperdebatkan dan ia mungkin tidak berkesan untuk semua jenis tikus.

13. Gunakan Minyak Pati

Tikus tidak suka bau minyak pati seperti pudina, kayu putih, dan lemon. Letakkan ketulan kapas yang dicelup dengan minyak pati di kawasan yang kerap dilalui oleh tikus atau di lubang tikus.

Anda juga boleh mencampurkan minyak pati dengan air dan semburkan di sekeliling rumah untuk menghalau tikus.

14. Titiskan Cuka

Titiskan cuka di tempat yang selalu dilalui tikus. Pastikan cuka tersebut dititiskan di dalam bekas kecil. Jika menggunakan kaedah ini, anda perlu kerap menambah semula cuka yang telah diletak.

15. Taburkan Serbuk Lada Hitam

Cara ini lebih kurang sama dengan menggunakan cuka. Taburkan serbuk lada hitam di kawasan yang dilalui oleh tikus.

16. Pelihara Kucing

Kucing merupakan haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W. dan mempunyai kemahiran semula jadi untuk menangkap tikus. Kucing bukan sahaja boleh menjadi pendamping kepada manusia, malah merupakan musuh utama kepada tikus. Dengan memelihara kucing, anda mungkin berpeluang melihat kucing anda ‘menghadiahkan’ tikus di depan mata anda!

Kucing dan anjing juga merupakan haiwan pemangsa semula jadi bagi tikus. Memelihara haiwan ini dapat membantu menghalau tikus dari rumah anda. Walau bagaimanapun, pastikan untuk menjaga kebajikan haiwan peliharaan anda dan memberinya vaksinasi yang secukupnya.

17. Upah Syarikat Kawalan Serangga (Pest Control)

Sekiranya masalah tikus di rumah anda sudah teruk, anda mungkin perlu mendapatkan khidmat profesional. Syarikat kawalan perosak mempunyai peralatan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghalau tikus dengan cepat dan berkesan.

Kaedah ini kebiasaannya dilakukan oleh syarikat atau kilang jika anda tidak kisah untuk mengeluarkan modal yang lebih. Walau bagaimanapun, rumah juga boleh mengupah syarikat kawalan serangga dengan kos yang berpatutan.

Cari penyedia perkhidmatan yang benar-benar mahir agar tikus tidak akan kembali ke rumah anda. Pastikan untuk memilih syarikat yang berpengalaman dan berkelayakan untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Kebaikannya ialah syarikat tersebut akan membuang bangkai tikus yang mati, sesuai untuk mereka yang geli dengan tikus.