Starbucks Malaysia nafi tutup 100 cawangan, hanya henti operasi sementara di beberapa outlet

Starbucks Malaysia nafi tutup 100 cawangan, hanya henti operasi sementara di beberapa outlet

 

Starbucks Malaysia hari ini menafikan dakwaan sebuah portal berita dalam talian bahawa ia telah menutup lebih 100 cawangan di negara ini.

“Dakwaan bahawa lebih 100 kedai Starbucks di Malaysia telah ditutup adalah palsu. Walaupun kami telah menghentikan operasi di beberapa kedai sahaja, kebanyakan lokasi yang dikatakan ditutup, hanya buat sementara waktu,” kata wakil Starbucks Malaysia kepada New Straits Times (NST).

Beliau berkata, penutupan sementara itu adalah sebahagian daripada penilaian berterusan, membolehkan mereka menyelaraskan kedudukan secara lebih strategik, tanpa kehilangan pekerjaan.

“Yang penting, tiada pekerja terjejas akibat penutupan tetap atau sementara, kerana mereka telah ditugaskan semula ke kedai berhampiran untuk terus melayani pelanggan kami dengan lancar,” kata wakil itu.

Starbucks Malaysia berkata, mereka melihat peningkatan positif dalam jualan kerana pelanggan mula menyedari bahawa dakwaan terhadap jenama itu adalah tidak benar dan bahawa Starbucks tidak pernah berada dalam senarai Boikot, Lupus dan Sekat (BDS).

Pengendali Starbucks Malaysia, Berjaya Food Bhd (BFood) melaporkan kerugian bersih RM91.5 juta bagi tahun fiskal berakhir 30 Jun 2024 berbanding keuntungan bersih RM103.4 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan boikot pengguna dan kerugian sekali daripada pelupusan Jollibean Foods Pte Ltd.