30 motosikal retro musnah dalam kebakaran bengkel

30 motosikal retro musnah dalam kebakaran bengkel

 

Seorang pengusaha bengkel membaiki kenderaan dan aksesori berputih mata apabila kira-kira 30 motosikal retro koleksinya dan pelanggan musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Batu 2, di sini semalam.

Antara motosikal yang musnah dalam kebakaran itu ialah Suzuki Panther TXR 150, Suzuki RGF 250, Honda Cub, Suzuki GSX 400 Katana, Suzuki GP100, Honda NSR 150, Honda CB400, Suzuki FXR150, Yamaha R1, Suzuki RGV 250 dan Suzuki X7 250.

Menurut Kamarul Hisham Zarizan, 46, dia mengetahui kebakaran melibatkan bengkelnya yang menempatkan kedai fonderi dan membaiki kusyen kereta itu pada pukul 8.30 malam setelah dimaklumkan oleh adiknya.

Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, api sedang marak dan dia tidak sempat menyelamatkan motosikal mahupun peralatan di bengkelnya.

“Kebanyakan motosikal di bengkel itu adalah koleksi saya yang dikumpul sejak tahun 2,000 dan ada dalam empat buah motosikal milik pelanggan untuk dibaiki.

“Motosikal itu kebanyakannya adalah koleksi ‘rare’ dan klasik di mana harga barangan atau alat gantinya juga amat tinggi dan sukar diperolehi,” katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.

Menurut Kamarul Hisham, kebakaran itu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 termasuk melibatkan motosikal pelanggan.

Katanya, dia bagaimanapun bersyukur kerana semua pelanggan memahami situasi dan tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku.

“Saya rancang untuk pindah ke bengkel lain yang baharu siap pada bulan hadapan namun tidak sempat pindahkan semua motosikal, kejadian ini pula berlaku,” katanya yang beroperasi di premis tersebut sejak 15 tahun lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, deretan sembilan premis termasuk empat buah rumah musnah dalam kebakaran.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.