3 termasuk 2 kanak-kanak maut dalam kebakaran
Tiga termasuk dua kanak-kanak dipercayai sekeluarga, ditemukan maut dalam kebakaran melibatkan sebuah unit rumah kedai tiga tingkat di Jalan Kampar Barat 3 di sini, hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Nor Rasidamayati Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran di tingkat satu bangunan itu pada 10.03 pagi tadi.
“Kami segera mengerahkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kampar ke lokasi bagi kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran sejurus menerima panggilan, dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Nor Rasidamayati berkata, selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pihaknya menemukan seorang wanita dipercayai jururawat berusia 35 tahun bersama dua kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan berusia tujuh dan 12 tahun, di atas katil di premis itu.
Ketiga-tiga mangsa yang melecur teruk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, katanya.
Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1909270