3 kampung ‘diserang’ lalat

3 kampung ‘diserang’ lalat

 

Lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di Gunung Semanggol dekat sini terpaksa berdepan gangguan lalat hampir 30 tahun berpunca daripada ladang ternakan ayam yang gagal menguruskan sistem kebersihan secara berkesan.

Masalah itu melibatkan penduduk di Kampung Balik Bukit, Kampung Jaya dan Taman Indah Jaya di Jalan Transkrian-Kamunting dekat sini.

Selain mengganggu rutin harian penduduk, masalah lalat turut menjejaskan para peniaga yang menjalankan perniagaan makanan.

Peniaga makanan di Taman Indah Jaya, Saniah Mastan, 61, berkata, gangguan lalat di tempat dia berniaga telah berlarutan hampir 30 tahun.

Menurutnya, masalah itu menjejaskan imej kedai makannya selain terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat.

“Setiap hari saya terpaksa mengeluarkan kos sekitar RM20 untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat. Selain itu minuman pelanggan kerap dimasuki lalat.

“Malah ada pelanggan yang mahu masuk ke kedai tiba-tiba membatalkan niat mereka setelah melihat lalat di merata-rata tempat dalam kedai. Ini kali keempat sejal awal tahun ini jumlah lalat lalu terlalu banyak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, masalah lalat itu berpunca daripada tiga ladang ternakan ayam berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk di tiga buah kampung itu.

Menurutnya, setiap kali pemilik ladang ternakan menjual hasil ternakannya, setiap kali itu juga penduduk akan menghadapi gangguan lalat yang banyak.

“Bukan hanya gangguan lalat ketika hendak makan, tetap semasa hendak tidur pun terpaksa menghalau lalat sebelum dapat tidur,” katanya.

Sementara itu, masalah tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria bersama pegawai veterinar meninjau satu daripada ladang ternakan ayam hari ini.

Razman berkata, pengusaha ladang ternakan ayam didapati langsung tidak mengikuti garis panduan Jabatan Hal Ehwal Veterinar (JHEV) dalam menguruskan kebersihan secara berkesan dan menjadikan premisnya sebagai tempat pembiakan lalat.

Menurutnya, terdapat 16 blok kandang ayam di ladang ternakan itu yang memuatkan sebanyak 80,000 ekor ayam dalam satu masa.

“Pemiliknya tidak menyelenggara reban ayam mengikut ketetapan garis panduan JHEV yang mana air bertakung di bawah reban menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat hinggap beratus ribu lalat.

“Pemilik ternakan baru saja menjual ke semua hasil ternakannya menyebabkan lalat mengganggu kacau hingga ke kediaman rumah penduduk dan premis perniagaan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu pemilik ladang telah dikompaun sebanyak RM 2,000 oleh JHEV di bawah Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005.

“Ladang berkenaan juga tidak dibenarkan beroperasi sehingga ladang ternakannya dibersihkan dan menepati syarat atau peraturan yang ditetapkan JHEV,”  katanya, memetik laporan Utusan.