3 ekor anak Harimau Malaya sambut ulang tahun pertama kelahiran di Zoo Taiping

3 ekor anak Harimau Malaya sambut ulang tahun pertama kelahiran di Zoo Taiping

Tiga ekor anak harimau Malaya yang dilahirkan 12 April tahun lalu, menyambut ulang tahun kelahiran pertama hari ini di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS).

Puntum (jantan), Teja dan Bayu (betina) dilahirkan di zoo tersebut oleh ibunya yang bernama ‘Baby’ yang ketika itu berusia 11 tahun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Muhammad Zubir berkata, sempena ulang tahun itu, pihak zoo menawarkan pakej khas kepada 60 penyertaan terawal pada Sabtu dan Ahad lepas.

Menurutnya, melalui pakej itu, peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman melawat pameran-pameran di ZTNS bersama Renjer Zoo dan bersama-sama menyertai sesi ‘animal feeding’.

“Lebih menarik, peserta turut diberikan keistimewaan iaitu dapat melihat anak-anak harimau ini menerusi jarak dekat, melihat sesi ‘enrichment programme’ yang disediakan oleh penjaga zoo,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, anak-anak harimau itu berada dalam keadaan baik dan sihat, malah berat bagi setiap ekor mencecah antara 70 ke 80 kilogram.

Sementara itu, Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus berkata, kelahiran Puntum, Teja dan Bayu merupakan kejayaan kelahiran kali keempat anak Harimau Malaya yang berjaya disambut oleh Zoo Taiping & Night Safari selepas kelahiran terakhir pada tahun 2009.

Kini dianggarkan terdapat kurang dari 200 ekor Harimau Malaya ini yang hidup liar dan berada pada tahap yang membimbangkan.

Melalui hasil kajian yang dijalankan (Survei Harimau Kebangsaan 2016-2020) Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai haiwan yang diancam kepupusan (senarai merah) oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) pada tahun 2015.

Harimau Malaya merupakan spesis yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. – AA