Anggur import ‘Shine Muscat’ didakwa ada bahan kimia berbahaya

Anggur import ‘Shine Muscat’ didakwa ada bahan kimia berbahaya

 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyiasat dakwaan yang menyatakan anggur import jenis ‘Shine Muscat’ mengandungi sisa bahan kimi berbahaya menurut laporan media Thailand.

Laporan daripada Thai PBS mengatakan anggur Shine Muscat yang diimport dari China didapati mengandungi banyak bahan kimia berbahaya, termasuk chlorpyrifos.

Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) memberi amaran berhubung pencemaran anggur Shine Muscat, selepas mendapati kebanyakan sampel yang dikumpulnya mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum yang dibenarkan.

Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand (TCC) menggesa Kementerian Kesihatan Awam untuk mengambil tindakan segera, termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar untuk melabel negara asal anggur Shine Muscat yang diimport.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada agensi berkaitan termasuk MARDI untuk membuat pengesahan.

Sekiranya benar anggur berkenaan mempunyai kandungan sebagaimana yang didakwa, pihaknya akan membuat pengumuman dan tindakan susulan akan diambil.

“Bagaimanapun setakat ini kita tidak menerima aduan berhubung perkara ini. Pengesahan isu ini akan dibuat.

“Kita amat teliti berhubung perkara ini kerana ia membabitkan soal kesihatan dan pemantauan berterusan akan dilakukan. Jika dikesan mengandungi bahan kimia berbahaya, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya dipetik dalam Berita Harian.