Kedai runcit sorok 935kg minyak masak bersubsidi dirampas KPDN

Kedai runcit sorok 935kg minyak masak bersubsidi dirampas KPDN

 

Sebanyak 935 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM2,500 yang disyaki disorok, dirampas dalam serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Serbuan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) bersama KPDN Melaka susulan aduan pengguna yang diterima melalui sistem e-aduan kementerian itu.

Menurut KPDN WPKL dalam satu kenyataan, semalam, pasukan penguat kuasa menjalankan siasatan dengan membuat uji beli (test purchase) secara penyamaran menerusi Ops Samar sebelum serbuan dijalankan.

“Ketika uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak peket sudah habis terjual.

“Berikutan curiga dan tidak puas hati dengan alasan diberikan, penguat kuasa KPDN WPKL berseragam memasuki premis itu dan berjumpa dengan penyelia di situ.

“Hasil pemeriksaan secara menyeluruh di premis perniagaan itu menemukan puluhan kotak minyak masak peket di dalam stor penyimpanan,” katanya.

Berikutan itu, menurut kenyataan berkenaan, pasukan menyita minyak masak peket satu kilogram bersubsidi sebanyak 935kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,524.50.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 16 (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, operasi bersepadu itu juga adalah inisiatif baharu kerajaan, iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) melalui KPDN seperti yang diumumkan Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, pada 19 Oktober lalu.

“Inisiatif ini adalah satu langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan membabitkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN juga menggesa masyarakat bersama menyokong inisiatif Kita GEMPUR dan menjadi sebahagian daripada gerakan berkenaan agar aktiviti yang merugikan rakyat serta negara dapat dibanteras.