27 influencer ditahan promosi judi haram dalam talian

27 influencer ditahan promosi judi haram dalam talian

 

Polis menahan 27 pempengaruh media sosial kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket perjudian untuk mempromosikan kegiatan judi dalam talian, semalam.

Semua pempengaruh berusia antara 21 hingga 35 tahun termasuk 23 wanita itu ditahan dalam serbuan serentak di ibu kota, selain Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan mendapati sindiket membayar gaji kepada pempengaruh terbabit berdasarkan jumlah pengikut di akaun media sosial masing-masing.

“Setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 bergantung jumlah pengikut mereka di media sosial.

“Siasatan mendapati setiap pempengaruh digaji sindiket ini aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial,” katanya menurut BH Online.

Mohd Shuhaily, dalam serbuan itu pihaknya merampas 30 telefon bimbit milik semua suspek untuk siasatan lanjut.

“Kita dapati pempengaruh yang digaji sindiket judi ini menjalankan perniagaan menjual pelbagai produk termasuk produk kecantikan dan di samping itu, mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

“Semua pempengaruh dipercayai digaji beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket judi yang menjadi dalang utama dalam kes ini.

“Inilah yang berlaku dalam dunia judi haram yang mana bukan lagi berlaku di premis sebaliknya secara dalam talian, dalam konteks jenayah siber.

“Kita masih teruskan siasatan mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.