264 karton rokok seludup dirampas

264 karton rokok seludup dirampas

Polis Daerah Muallim merampas 264 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM11,000 dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Pekan Slim River, di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam diketuai Ketua Polis Balai Slim River, Inspektor Azri Azmi itu, empat individu ditahan termasuk seorang lelaki dan wanita warga asing berusia lingkungan 24 tahun hingga 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua suspek masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita ditahan ketika berada di dalam premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan di premis itu menjumpai 264 karton rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM2,200 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM13,200.

“Siasatan mendapati dua pekerja kedai berkenaan iaitu wanita warga Indonesia dan lelaki warga India tinggal lebih masa di negara ini.

“Berdasarkan semakan rekod lampau, seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes penjualan mercun dan bunga api,” katanya di sini.

Menurut beliau, dua suspek ditahan reman mulai semalam manakala dua warga asing itu pula direman 14 hari sehingga 4 Mac ini.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.  – UO