Lebih 300 berhimpun, kibar Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong Teluk Intan

Sekumpulan individu bertindak mengibarkan Jalur Gemilang sambil mengelilingi Dataran Menara Condong Teluk Intan dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China yang dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi berkenaan beberapa hari lalu.
Menerusi satu laporan, lebih 300 individu termasuk Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga Ketua Pembangkang Negeri turut menyertai himpunan berkenaan.
Dalam satu komen di hantaran video yang tular, ada yang mengatakan sebanyak 5,000 bendera diedarkan oleh seorang pemilik sebuah restoran di Teluk Intan.
@aminudin.zaibani Kibar jalur gemilang di dataran menara condong Teluk Intan #kibarjalurgemilang #telukintan #menaracondong #benderamalaysia #anakmalaysia
Orang ramai turut menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku dan lagu Jalur Gemilang serta Saya Anak Malaysia.
Acara berkenaan yang dimulakan pada jam lima petang itu diakhiri dengan bacaan Doa Wehdah dan Qunut Nazilah.
Dalam pada itu, anggota polis dan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) turut berada di kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan dan lalu lintas.
Terdahulu, satu video tular merakamkan bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong, Teluk Intan dan mengundang reaksi marah orang ramai.