Kuasa viral! Cikgu Din diberi cuti jaga isteri hidap kanser di Semenanjung

Baru-baru ini, tular sebuah cerita di Facebook di mana seorang guru diuji apabila isterinya menghidap kanser dan permohonannya untuk dipindahkan ditolak.
Guru yang dikenali sebagai Cikgu Din itu sedang berkhidmat di Sarawak dan isterinya sedang menjalani rawatan kemoterapi di Kelantan disebabkan sekolah tempat Cikgu Din bekerja memakan masa 2 jam perjalanan untuk ke hospital.
Dalam hantaran itu, Cikgu Din dikatakan tidak dibenarkan untuk berpindah daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana pertukaran itu hanya boleh dibenarkan bagi guru yang sudah berkhidmat selama 3 tahun.
Malah, perkara itu menyebabkan Cikgu Din bertarung dengan Mental Depression Disorder (MDD).
Hantaran itu tular di Facebook dan sampai ke pengetahuan KPM, hari ini pihak kementerian mengumumkan akan melaksana tindakan segera bagi memberi bantuan kepada Cikgu Din.
Difahamkan, dalam satu kenyataan KPM, guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama isterinya.
“KPM prihatin mengenai situasi seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya.
“Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya,” tulisnya.
Menurut KPM, satu pertemuan dengan guru berkenaan akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikan dan lain-lain perkara.
Pihak KPM juga berkata mereka akan memastikan kebajikan Cikgu Din sekeluarga terpelihara selain bakal mengadakan pertemuan dalam masa yang terdekat. Beberapa perkara lanjut akan dibincangkan bagi mencari penyelesaian mengenai perkara-perkaran berbangkit yang ada.
Dalam pendedahan sebelum ini, Nor Atiqah menyifatkan barah yang dialaminya sebagai agresif di mana doktor sendiri sudah memberikan isyarat mengenai jangka hayatnya yang mungkin tidak bertahan lama. Sudah pasti, keberadaan Cikgu Din di sampingnya selaku suami amat penting buat masa sekarang.