24 tahun tak mampu buat majlis kahwin, pasangan gelandangan ditaja lelaki pemurah

24 tahun tak mampu buat majlis kahwin, pasangan gelandangan ditaja lelaki pemurah
Selepas 24 tahun menjalin kehidupan bersama, hasrat pasangan gelandangan untuk disatukan sebagai suami isteri akhirnya berjaya dilaksanakan dengan bantuan seorang pedandan rambut yang bermurah hati.

Menurut laporan Daily Mail, pasangan tersebut Rommel Basco, 55, dan Rosalyn Ferrer, 50 yang menetap di sebuah wilayah di Filipina sibuk mencari sesuap nasi dengan mengumpul barangan terpakai sebelum ditemui pemilik salon itu Richard Strandz.

Richard membantu pasangan berkenaan untuk memperoleh lesen perkahwinan termasuk membiayai kos perkahwinan di gereja apabila selesai proses urusan dokumen mereka berdua.

Ketika menjayakan sesi ‘photoshoot’ pra-perkahwinan pada 13 Februari lalu, Rosalyn kelihatan anggun menggayakan gaun berwarna putih putih makanala Rommel pula mengenakan baju ‘Barong Tagalog’.

“Saya pernah berangan ketika kecil untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan tema berbusana putih. Tapi kami tidak pernah mempunyai wang secukupnya.
“Kami hanya fokus mencari makanan yang mencukupi untuk dimakan setiap hari. Kini saya rasa sangat bersyukur kerana akhirnya tercapai,” kata Rosalyn.

Menceritakan kembali detik kedua-dua pihak itu, Richard berkata dia bertemu gelandangan tersebut ketika pasangan itu sedang mengutip botol plastik berhampiran salon miliknya.

“Saya tersentuh hati apabila mengetahui kedua-duanya tinggal bersama selama lebih dari dua dekad tetapi tidak mampu mengadakan majlis kecil-kecilan.
“Cinta sejati adalah sesuatu yang harus diraikan. Ia sangat istimewa, tidak kira sama ada seseorang itu kaya atau miskin,” ujar Richard. – BD, Daily Mail