24 premis bitcoin diserbu, mesin bernilai RM2.2 juta dirampas

24 premis bitcoin diserbu, mesin bernilai RM2.2 juta dirampas

Sebanyak 1,554 unit mesin untuk aktiviti perlombongan bitcoin bernilai RM2.2 juta dirampas selepas polis menahan 25 lelaki dalam serbuan berasingan dari 1 Disember lalu hingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menyerbu 24 buah premis di tujuh daerah di negeri ini yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat aktiviti perlombongan bitcoin.

Katanya, sindiket berkenaan juga didapati menjalankan kegiatan tersebut dengan mencuri arus elektrik hingga menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dianggarkan berjumlah RM743,000 sebulan.

“Serbuan bersama TNB itu mendapati sindiket berkenaan telah membuat penyambungan haram ke atas bekalan kuasa elektrik ke bangunan yang dijadikan sebagai premis melombong bitcoin.

“Siasatan mendapati sindiket tersebut menyasarkan bangunan sunyi dengan membuat pengubahsuaian pendawaian ke atas premis berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan mampu mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta sebulan hasil daripada aktiviti itu.

Katanya, tangkapan ke atas semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu dibuat selepas serbuan dilakukan di sekitar Ipoh, Taiping, Manjung, Kerian, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar.

“Siasatan ke atas semua kes itu dibuat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mengetahui terdapat individu atau premis melakukan kegiatan tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.  – KO