Menyamar jadi tukang cuci, budak 2 tahun nyaris diculik warga asing

Menyamar jadi tukang cuci, budak 2 tahun nyaris diculik warga asing

 

Makin lama makin risau pula dengan kes yang melibatkan warga asing ini. Terbaru semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan nyaris diculik oleh seorang lelaki warga Nepal.

Menurut Kosmo, lelaki berkenaan telah menyamar menjadi tukang cuci dan kejadian ini berlaku ketika kanak-kanak ini berada di rumah dekat Kampung Buaya Raya Kuang, Rawang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Mohd Nor berkata, tindakan lelaki itu terbantut apabila jiran mangsa, warga tempatan, 47 tahun bergegas ke rumah itu sebaik mendengar panggilan pertolongan pada pukul 12.40 tengah hari.

“Pengadu melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong yang seseorang mahu mengambil anaknya.

“Dia pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahannya berdekatan kawasan pembuangan sampah,” katanya.

Menurut laporan, ketika kejadian, kanak-kanak tersebut berada di ruang tamu sebelum suspek datang memperkenalkan dirinya sebagai tukang cuci.

Suspek tersebut walau bagaimanapun berjaya ditahan orang awam dan dikatakan berlaku pergelutan ketika proses itu hingga tular videonya di media sosial.

Walau bagaimanapun, suspek berjaya diserahkan kepada pihak polis dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.