“Saya obses dengan rasanya” – Mat Saleh dedah sebab jual nasi lemak Malaysia di Hawaii

“Saya obses dengan rasanya” – Mat Saleh dedah sebab jual nasi lemak Malaysia di Hawaii

 

Tidak dapat dinafikan, walau di mana kita berada, selera terhadap makanan kegemaran dari tanah air tidak pernah pudar.

Rakyat Malaysia terutamanya, sangat sinonim dengan masakan pedas, ulam-ulaman dan sambal.

Bagi kita, nasi lemak, roti canai, dan kuih-muih tempatan seperti karipap dan popia sentiasa menjadi pilihan utama.

Namun, apabila berada di luar negara, mencari juadah tempatan Malaysia boleh menjadi satu cabaran.

Di tempat orang, pastinya makanan tempatan mereka lebih mudah didapati.

Jadi, apabila kita menjumpai gerai yang menjual makanan Malaysia di negara asing, ia bagaikan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok, @aimanariffinnnn, berkongsi pengalaman menarik semasa berada di Honolulu, Hawaii.

Di sana, di sebuah pasar tani, dia menemui satu gerai yang menjual nasi lemak, juadah kebanggaan rakyat Malaysia.

Lebih menarik lagi, gerai tersebut dimiliki oleh seorang lelaki tempatan berasal dari New York, Andrew Presslar.

Gerai itu memaparkan banner dengan tulisan “Nasi Lemak Malaysian Coconut Rice“, menarik perhatian sesiapa sahaja yang merindui hidangan Malaysia.

Menurut Aiman, nasi lemak yang dijual di situ mempunyai sedikit kelainan, diubah suai mengikut selera penduduk tempatan dan dijual dengan harga ‘kayangan’.

Andrew, chef dan pemilik gerai tersebut, akhirnya mendedahkan kepada Aiman bagaimana dia terjebak dengan masakan Malaysia.

“Saya pertama kali diperkenalkan dengan makanan Malaysia sekitar 16 ke 17 tahun lalu ketika bekerja di New York bersama seorang chef bernama Zach Lazio yang memiliki restoran Malaysia. Sejak itu, saya mula obses dengan hidangan Malaysia,” katanya.

Andrew mengakui bahawa hidangan Malaysia mempunyai rasa yang sangat unik, dengan kombinasi masam, manis, pedas dan masin dalam satu hidangan.

Baginya, nasi lemak adalah sesuatu yang jarang ditemui di Hawaii, dan pelanggan yang merasainya pasti akan kembali untuk menikmatinya lagi.

@aimanariffinnnn

Nasi lemak serunding oink oink🐷 #fyppppppppppppppppppppppp #fypシ #hawaii #nasilemak #oinkoink #malaysia

♬ Hawaiian Roller Coaster Ride – Mark Keali’i Ho’omalu & Kamehameha Schools Children’s Chorus

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada warga maya, termasuk netizen Malaysia.

Sekilas pandang menerusi video yang dikongsikan, nasi lemak versi Hawaii itu tidak dapat dinafikan kelihatan berbeza daripada yang asli.

Bagaimanapun, ramai warga maya merasa bangga melihat makanan tradisi Malaysia itu ‘mendunia’.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita merasa bangga apabila juadah kebanggaan kita dihidangkan di serata dunia, walaupun dengan sedikit ‘sentuhan asing’.

Begitupun, itulah cara terbaik untuk menjadikan Malaysia lebih dikenali di peringkat global, melalui cita rasa yang unik dan tersendiri.