“Cik Epal tawar jadi isteri kedua Jofliam” – Isu jadi penyondol, Dewi akhirnya tampil bersuara
Wanita yang dituduh menjadi orang ketiga dalam hubungan pasangan pempengaruh Cik Epal dan Jofliam iaitu Dewi mendakwa dia telah ditawarkan untuk menjadi isteri kedua kepada majikannya.
Menerusi satu podcast bersama Astro Gempak, Dewi atau nama sebenarnya Emira Delyati Dewi berkata dia tampil untuk menjelaskan perkara sebenar bagi membersihkan namanya.
Menurut Dewi, seminggu sebelum ke Milan untuk pertandingan Top 100 Pizza, Jofliam menghubunginya kerana Cik Epal mahu bertemu.
Bagaimanapun, Dewi enggan bertemu dengan Cik Epal kerana terlalu banyak perkara buruk yang diperkatakan tentang dirinya kepada orang lain.
“Dia cakap boleh tak isteri saya nak berjumpa dengan awak. Saya cakap kat Jofliam, saya rasa ia dah terlambat. Benda dah jadi.
“Saya cakap macam tu sebab pertama, empat bulan tu, isteri dia korek habis pasal hidup saya. Aib saya semua dia korek dekat team dan dia ceritakan dekat semua orang. Sebab tu saya susah hati sangat nak jumpa dia,” katanya.
Namun, Cik Epal tetap mahu bertemu dengannya kerana dia mahu memohon maaf kepada Dewi atas kesalahan yang dia lakukan terhadapnya.
Dakwanya, Cik Epal berkata dia sebenarnya tahu bahawa Dewi bukanlah penyondol dan tahu bahawa Jofliam sebenarnya tidak berlaku curang terhadapnya.
Susulan tidak mahu kehilangan Jofliam, Cik Epal kemudian menawarkan kepaad Dewi untuk menjadi isteri kedua kepada suaminya.
“Dia tawar saya untuk jadi isteri kedua. Jadi saya tanya kenapa saya dan dia bagi beberapa sebab.
“Satu, sebab saya adalah orang yang sokong Jofliam dan Jofliam percayakan saya. Memanglah, sebab sepanjang drama ni, tak ada yang percayakan dia termasuk Cik Epal sendiri sebagai isteri selain daripada saya.
“Kedua, dia cakap saya rapat dengan anak-anak mereka. Ketiga, dia cakap sebab saya dah bekerja lama dengan Jofliam jadi kalau suami dia nak kenal saya sebagai manusia, tak akan ambil masa yang lama.
“Dan yang keempat, kalau saya terima tawaran ni, saya ni adalah hadiah untuk Jofliam untuk tebus kesilapan dia,” jelasnya.
Namun begitu, Dewi berkata dia tidak menerima mahupun menolak tawaran tersebut kerana buat masa sekarang dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap Jofliam.
Katanya lagi, mungkin jawapan dia sekarang adalah ya tapi berkemungkinan jawapannya di masa hadapan akan berubah.
Susulan itu, dia meminta Cik Epal untuk menyelesaikan konflik bersama Jofliam dan tanyakan soalan itu di masa hadapan nanti.
“Saya tak cakap ya, saya tak cakap tak. Saya cuma cakap, saya mungkin cakap ya sekarang sebab saya tak ada perasaan terhadap Jofliam sekarang.
“Ya, mungkin Jofliam boleh jaga saya dari segi kewangan, tapi secara emosi mungkin tak boleh. Jadi saya cakap kat dia, selesaikan antara korang berdua nanti tiga empat tahun cari saya balik.
“Kalau saya cakap ya, ya. Kalau saya cakap tak, tak. Tapi untuk saya, untuk cakap saya ada perasaan kat Jofliam, saya takde,” ujarnya.
Terdahulu, Dewi telah dituduh menjadi perosak rumah tangga pasangan pempengaruh selepas tular foto dan video memaparkan dirinya bersama Jofliam ketika menghadiri pertandingan Top 100 Pizza.
Sekadar info, Cik Epal mengesahkan dia telah sah bercerai dengan Jofliam setelah sedekad melayari bahtera perkawinan bersama lelaki berkenaan.
Pasangan pempengaruh itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Han dan Yuki.