22 pekerja asing hilang dari asrama berjaya dijejaki polis
Polis berjaya menjejaki 22 daripada 23 pekerja asing yang dilaporkan hilang semalam ketika pemeriksaan di sebuah asrama kilang pakaian antarabangsa Emerald Garments yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, semua 22 warga asing itu ditemui malam tadi dan terus dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan di sini.
“Mereka bukannya melarikan diri tetapi sebaliknya tidak dapat dihubungi memandangkan tinggal di alamat lain.
“Kesemua mereka akan dipindahkan ke PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanpun katanya, seorang daripada pekerja tersebut masih belum dapat dikesan dan dia berkemungkinan tinggal di alamat lain.
Kosmo! Online semalam melaporkan, polis sedang mengesan 23 pekerja warga asing di kilang pakaian antarabangsa Emerald Garments yang tiada di asrama dipercayai berada di tempat lain semasa kilang tersebut ditutup.
Bagaimanapun mereka berkemungkinan masih berada di kawasan sekitar Tasek di sini dengan tinggal menumpang di rumah sewa rakan-rakan.
Kelmarin, kawasan asrama pekerja kilang pakaian Imperial Garments ini dikenakan PKPD berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 susulan saringan yang dilakukan bermula 23 Februari lalu.
Dua blok flat lima tingkat dijadikan asrama pekerja kilang tekstil itu menempatkan kira-kira 439 penghuni daripada keseluruhan pekerja yang berjumlah 653 orang. – KO