Netizen persoal tindakan bekas banduan buat akaun TikTok & tulis ayat ‘kerat 8’
Baru-baru ini, kisah seorang bekas banduan telah menjadi perhatian ramai apabila dia telah dibebaskan daripada penjara dan terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh.
Bekas banduan itu bernama Khairul Anuar Zakaria atau lebih dikenali sebagai Abah Hayat telah dipenjarakan selama 23 tahun empat bulan atas kesalahan membunuh seorang lelaki di Taman Datuk Kumbar, Kedah pada 4 Jun 2001.
Selepas dibebaskan dari tirai besi pada 3 Oktober lalu, Abah Hayat yang kini berusia 64 tahun itu dilihat telah membuka akaun TikToknya.
@abah.hayat.bkt.pinang Perkenalan SIAPAKAH & APAKAH ABAH HAYAT ??
♬ original sound – Abah Hayat Bkt Pinang – Abah Hayat Bkt Pinang
Bagaimanapun, ramai mempersoalkan tindakan Abah Hayat bermain TikTok lebih-lebih lagi apabila bio ditulis ‘kes pembunuhan kerat 8’ seolah-olah tidak mempunyai rasa simpati terhadap keluarga mangsa.
Difahamkan, selepas ramai menegur mengenai perkara itu, bio di akaun terbabit ditukar semula.
Bukan itu sahaja, pengguna di platform X turut mempersoalkan segelintir pengguna TikTok yang dilihat seperti menyokong video dan penstriman langsung Khairul Anuar berkongsi mengenai kisah hidupnya.
Abah Hayat yang ditemui media meluahkan rasa kesal atas perbuatan jenayah yang dilakukan itu dan mengakui ketika itu dia jauh dari Allah sehingga hawa nafsu menguasai dirinya.
Katanya, kehidupan di sebalik tirai besi banyak mengajarnya menjadi manusia dan berharap masyarakat dapat menerimanya.
Menurutnya lagi, dia berhasrat untuk terus memberikan motivasi kepada bekas banduan yang pernah menjadi anak didiknya semasa di penjara sebelum ini.