“2024 tahun paling suwey” – Emosi tercalar, Aliff Syukri ‘pencen’ menyanyi

“2024 tahun paling suwey” – Emosi tercalar, Aliff Syukri ‘pencen’ menyanyi

 

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, 37, membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia nyanyian.

Ia berikutan Aliff berpendapat faktor usia yang semakin meningkat dan sering terpalit kontroversi membabitkan undang-undang akibat karya lagu raya dianggap tidak menghormati budaya dan agama baru-baru ini.

“Tahun ini adalah tahun terakhir saya sebagai penyanyi. Tahun ini adalah tahun paling ‘suwey’ (malang).

“Setiap gerak geri saya dikritik, bahkan, kes baru-baru ini juga masih dalam siasatan. Sedikit sebanyak, ia memberi tekanan dan penyesalan kepada saya. Jadi, saya tarik diri dan reda,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, emosinya tercalar walaupun dia sedaya upaya menutup masalahnya.

“Anda tahu mengenai kes saman saya? Ia tak mudah. Saya cuba tutup masalah saya, tapi, dalam keadaan ekonomi sekarang, sedikit sebanyak ia mencabar dan emosi saya tercalar,” katanya.

Aliff juga sudah berputus asa dan ingin membuka peluang kepada artis-artis baharu (BBNU) untuk menyerlah.

“Tapi, janganlah kerana tak ada lagu, anda lupakan saya. Berilah BBNU baru untuk naik pula.

“Saya sampai bergaduh suami isteri dan bukan gimik. Jujurnya, saya dah putus asa. Mungkin saya dibenci sebagai penyanyi,” kata Aliff ketika ditemui Harian Metro.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, pada awal April lalu.

Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan yang diterima oleh SKMM berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

Seterusnya, telefon bimbit dan kad sim miliknya disita dan dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Aliff turut mempersoal sikap netizen yang lebih gemar memberi perhatian kepada ‘content’ (kandungan) yang dicipta berbanding objektif utama perniagaan.

Kata Aliff lagi, ia secara tak langsung memaksanya menghasilkan kandungan yang mencuri perhatian hingga berdepan kritikan dan kecaman.

“Kalau tak ada orang macam kami ini, tak ada ‘monyet’, tak ada ‘kera’ macam kami ini, tak ceria Malaysia,” katanya pada majlis Memori Aidilfitri Terlajak Raya anjurannya dan isteri, Datin Seri Nur Shahida di Damansara Perdana.

Penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu lagi mendakwa, masyarakat di negara ini gemar melihat kandungan bersifat mengaibkan seperti saman, tangkap basah dan sebagainya.