20,000 ketua isi rumah di Perak bakal terima telefon pintar
Kerajaan negeri akan membekalkan telefon pintar yang dilengkapi dengan modul pembelajaran kepada 20,000 ketua isi rumah golongan B40 bulan depan.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu hasil keputusan perbincangan dengan sebuah yayasan bagi tujuan tersebut.
Saarani berkata, hasrat itu merupakan kesinambungan daripada Tuisyen Cikgu Saarani yang dilaksanakan sebelum ini.
Secara tidak langsung katanya, jika hasrat itu tercapai maka dapat membantu keluarga miskin yang memerlukan telefon pintar dilengkapi dengan modul pembelajaran.
“Ada satu perbincangan di antara kerajaan negeri dengan sebuah yayasan yang InshaAllah jika dipersetujui akan membekalkan device (smartphone) kepada kira-kira 20,000 ketua isi rumah B40.
“Kita telah berbincang lebih kurang dua hingga tiga minggu, diharapkan ia dapat dimuktamdkan minggu hadapan dan jika perbincangan ini berhasil maknanya kita akan lancarkan pada bulan Mac.
“Ianya dapat membantu keluarga miskin yang tidak berkeupayaan menyediakan smartphone. Kita akan sediakan smartphone ini bersama-sama dengan modul pelajaran yang disediakan oleh yayasan tersebut,” katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita pada Program Pecutan Akhir-Kelas SPM 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan Dalam Talian, di sini pada Ahad.
Program itu merupakan anjuran Pusat Khidmat ADUN Kota Tampan dengan kerjasama Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (NADI) Sungai Siput.
Ujarnya lagi, pihaknya akan mengadakan sesi brainstorming bagi membincangkan satu modul khas untuk meneruskan program jangka panjang Tuisyen Cikgu Saarani.
“Tuisyen Cikgu Saarani ini hanya nama program, kita akan buat program motivasi keibubapaan, motivasi pelajar,perkhemahan dalam cuti untuk para pelajar.
“Ini hanyalah idea, keputusan muktamad bergantung kepada sesi brainstorming tersebut,” katanya.
Terdahulu Saarani menyampaikan sijil penghargaan kepada guru-guru dari lima buah sekolah dari DUN Kota Tampan dan Lintang yang terlibat mengajar tuisyen secara online kepada pelajar SPM. – SP